Pengurusan kes rayuan Rosmah pada 14 November

Isteri bekas Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor ketika hadir bagi mendengar keputusan perbicaraan kes rasuahnya berkaitan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak pada 1 September lalu. -Foto: Bernama
Isteri bekas Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor ketika hadir bagi mendengar keputusan perbicaraan kes rasuahnya berkaitan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak pada 1 September lalu. -Foto: Bernama
A
A
A
PUTRAJAYA - Tarikh baharu pengurusan kes rayuan Datin Seri Rosmah Mansor terhadap sabitan dan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta bagi kesalahan rasuah membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak ditetapkan pada 14 November depan.

Timbalan Pendakwa Raya, Poh Yih Tinn berkata, semasa pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mohd Khairi Haron pada Rabu, peguam Datuk Jagjit Singh memaklumkan bahawa mereka masih belum mendapatkan rekod rayuan.

Yih Tinn berkata, peguam itu juga memohon supaya rayuan anak guamnya terhadap keputusan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohamed Zaini Mazlan yang menolak permohonan supaya hakim menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes itu dan membuat keputusan mengenai kes solar tersebut, didengar dahulu.

"Saya memberitahu pendaftar bahawa pihak pendakwaan tidak membantah terhadap rayuan Rosmah supaya hakim menarik diri itu didengar terlebih dahulu,” katanya ketika dihubungi.



Mahkamah kemudian menetapkan 14 November untuk pengurusan kes seterusnya bagi menyemak pemfailan petisyen rayuan.

Bagaimanapun, seorang lagi peguam Rosmah, Datuk Akberdin Abdul Kader memberitahu bahawa mereka masih belum memfailkan petisyen rayuan.

Pada 1 September, Mohamed Zaini menjatuhkan hukuman penjara berjumlah 30 tahun dan denda RM970 juta ke atas Rosmah selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah.

Isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan. Bagaimanapun, beliau hanya akan menjalani hukuman penjara 10 tahun kerana hakim mengarahkan kesemua hukuman penjara berjalan serentak.

Mahkamah juga memerintahkannya dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda itu.

Rosmah dituduh atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin.
Artikel Berkaitan:


Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan.

Rosmah kemudiannya memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukumannya itu pada 2 September.

Beliau turut memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya supaya hakim itu menarik diri daripada mendengar dan membuat keputusan kes terbabit. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!