Benih padi IS21 tingkat pendapatan

Melalui projek Estate Management Module 2.0 hasil bersama NCIA dan MADA

A
A
A

NCIA bekerjasama dengan ANM untuk mencuba penanaman Varieti Padi IS21 pada musim 1/2022 dan musim 2/2022 di tapak projek EMM 2.0 di Kampung Asam Jawa.
NCIA bekerjasama dengan ANM untuk mencuba penanaman Varieti Padi IS21 pada musim 1/2022 dan musim 2/2022 di tapak projek EMM 2.0 di Kampung Asam Jawa.

PENDANG- Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) bersama Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) telah memperkenalkan satu projek rintis, Estate Management Module 2.0 (EMM 2.0) Pendang, bagi meningkatkan hasil padi melalui kaedah penyatuan tanah dan pengaplikasian teknik pertanian moden, seperti sistem automasi dan mekanisasi serta adaptasi sistem pertanian pintar.

“Projek ini juga dijadikan sebagai “Go & See Model” bagi inisiatif Estate Management Model 2.0++ di bawah Zon Ekonomi Agribio Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NAEZ) bagi memperkasakan sekuriti makanan negara,” kata Ketua Eksekutif NCIA, Mohamad Haris Kader Sultan.

Pelbagai inisiatif dan ikhtiar yang mampu meningkatkan hasil pengeluaran padi bermula dengan varieti padi, teknik serta input yang sesuai di sesuatu kawasan akan dikenal pasti dan dilaksanakan dengan harapan sekiranya berjaya, projek ini akan dikembangkan ke kawasan tanaman padi yang lain.

Ujian penanaman bagi projek EMM 2.0 ini melibatkan 13 musim yang telah dilaksanakan bermula pada tahun 2020 dan akan berakhir pada tahun 2026, di mana fokus utama keberhasilan projek adalah untuk meningkatkan purata hasil padi daripada 3MT/Ha semusim kepada 8 MT/Ha semusim hasil daripada intervensi yang diadaptasi.

Sehubungan dengan itu, NCIA telah bersetuju untuk bekerjasama dengan Agensi Nuklear Malaysia (ANM) untuk mencuba penanaman Varieti Padi IS21 pada musim 1/2022 dan musim 2/2022 di tapak projek EMM 2.0 di Kampung Asam Jawa, di sini.

Varieti Padi IS21 yang dilancarkan pada 20 November 2021, adalah benih padi baharu berteknologi tinggi dihasilkan oleh ANM yang dijana melalui teknologi nuklear dengan kaedah mutasi aruhan sinaran gama.

Artikel Berkaitan:

Varieti Padi IS21 ini telah diiktiraf oleh Jawatankuasa Dasar Bantuan Kerajaan kepada Industri Padi dan Beras sebagai benih padi sah negara dan dimasukkan dalam skim subsidi padi negara.

Pengurusan lebih cekap dan berkesan memungkinkan petani dapat menikmati pendapatan lebih tinggi.
Pengurusan lebih cekap dan berkesan memungkinkan petani dapat menikmati pendapatan lebih tinggi.

“Kajian penanaman Varieti Padi IS21 dijalankan di tapak projek EMM 2.0 bertujuan untuk membuat penilaian hasil penananam benih padi apabila diintegrasikan dengan sistem automasi dan mekanisasi serta dipantau dengan sistem pertanian pintar.

“Gabungan intervensi ini dijangka dapat memberikan hasil pengeluaran yang lebih tinggi serta dapat mengoptimumkan penggunaan input.

“Penggunaan Varieti Padi IS21 adalah berdasarkan kepada ciri-ciri seperti mempunyai daya tahan tinggi terhadap cuaca ekstrem seperti kemarau dan banjir serta mempunyai daya rintang terhadap beberapa penyakit padi seperti karah daun, karah tangkai, hawar seludang, hawar daun dan bakteria yang sering menjejaskan pengeluaran hasil padi,” jelas Mohamad Haris.

Pengurusan cekap

Selain penggunaan benih varieti baharu, katanya lagi, penggunaan sistem pertanian pintar bagi pengurusan penanaman padi dalam projek ini juga dijangka dapat mempertingkatkan keberkesanan dalam pertumbuhan serta kawalan serangga dan penyakit.

Pengurusan lebih cekap dan berkesan ini dapat memberi impak hasil yang tinggi dan kos pengeluaran lebih rendah seterusnya memungkinkan petani untuk dapat menikmati pendapatan lebih tinggi.

Beliau menambah, projek ini juga memberikan peluang kepada pihak swasta di dalam industri padi untuk menjadi rakan strategik bagi menyumbang kepakaran mereka dalam penerokaan teknologi yang boleh diuji dalam ujian rintis ini.

Bagi pembangunan benih padi baharu, pihak NCIA telah bekerjasama dengan syarikat Green Word Genetics Sdn Bhd dan Dibuk Sdn Bhd bagi membangunkan kajian penghasilan benih padi hibrid tempatan di Negeri Perlis.

Penggunaan sistem pertanian pintar bagi pengurusan penanaman padi dalam projek ini dijangka mempertingkatkan keberkesanan dalam pertumbuhan serta kawalan serangga dan penyakit.
Penggunaan sistem pertanian pintar bagi pengurusan penanaman padi dalam projek ini dijangka mempertingkatkan keberkesanan dalam pertumbuhan serta kawalan serangga dan penyakit.

Pihak NCIA juga sedang dalam perbincangan dengan pelbagai syarikat dalam pelbagai bidang lain seperti teknologi bahan input dan sistem pertanian pintar bagi meneroka peluang untuk mereka menguji teknologi mereka di tapak projek EMM 2.0.

Hasil dapatan daripada ujian rintis ini akan dikongsikan bersama pemain industri padi yang lain supaya ia dijadikan rujukan sebagai amalan terbaik dalam meningkatkan kecekapan pengoperasian sawah padi.

"Melalui kerjasama dengan MADA, NCIA berkolaborasi bersama dengan Agensi Nuklear Malaysia serta pihak swasta dari pelbagai latar belakang teknikal untuk menyediakan kepakaran dan pengetahuan yang diperlukan untuk membangunkan industri penanaman padi supaya pencapaian hasil dapat ditingkatkan di masa hadapan.

“Kejayaan projek ini akan dikongsikan bersama pemain-pemain industri padi dan dijangka mampu memajukan industri padi serta memperkasakan sekuriti makanan negara,” kata Mohamad Haris.

.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!