Teknologi FFS galak peningkatan hasil tembikai luar musim
PASIR PUTEH - Petani di negeri ini berpeluang meningkatkan pendapatan melalui penanaman tembikai luar musim melalui Program Farmers Feild School (FFS) Tanaman Tembikai.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II (MAFI), Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, teknologi FFS menggalakkan peningkatan hasil, kos penanaman menurun dan masa pengeluaran lebih pendek.
Menurut beliau, program yang dikendalikan oleh Jabatan Pertanian itu juga bertujuan memperkasakan sistem pertanian selari dengan teknologi dan inovasi yang perlu diterima oleh petani.
"Walaupun pada musim hujan, alhamdulillah tembikai yang ditanam lebih berkualiti dan mampu dijual pada harga bermula RM2.30 sekilogram," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program 'Walkabout' Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II ke Projek Tanaman Sayur-Sayuran Kampung Batu Berendam dan Projek Tembikai Kampung Haji Wan Omar, Pasir Putih pada Rabu.
Nik Muhammad Zawawi memberitahu, seramai 11 petani dari Pasir Puteh dan sembilan orang dari Bachok mengikuti program tersebut dan mereka menerima pendapatan minimum RM10,000 bergantung kepada keluasan tanah.
Tambah beliau, petani yang memulakan sistem itu merupakan golongan muda melalui kursus di bawah MAFI dan kemudian akan menjadi mentor kepada mereka yang bakal menyertai FFS.
"Kerajaan turut memperuntukkan sebanyak RM250,000 tahun ini melibatkan kerja-kerja menaik taraf sistem pengairan dan kursus," katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim mahu program berkenaan diteruskan kerana mampu menyumbang kepada peningkatan pendapatan petani.
Katanya, FFS boleh membantu rakyat yang tidak lagi menanam tembakau.
"Kita berharap MAFI akan menambah jumlah tanaman ini supaya lebih ramai petani dapat menyertai program ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!