Lima sekolah menang Anugerah Sekolah S.M.A.R.T

Belakang dari kiri: Farah, Nizam, Ahmad Amzad, Pkharuddin, Tengku Munazirah dan Pengarang Eksekutif Sinar Bestari, Meen Tahrin bergambar bersama pemenang anugerah pada Majlis Anugerah Sekolah SMART Sinar Bestari yang berlangsung di sebuah hotel pada Rabu. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
Belakang dari kiri: Farah, Nizam, Ahmad Amzad, Pkharuddin, Tengku Munazirah dan Pengarang Eksekutif Sinar Bestari, Meen Tahrin bergambar bersama pemenang anugerah pada Majlis Anugerah Sekolah SMART Sinar Bestari yang berlangsung di sebuah hotel pada Rabu. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Lima sekolah menerima pengiktirafan Anugerah Sekolah S.M.A.R.T Sinar Bestari 2021/2022 (ASSSB) menepati ciri-ciri Skil, Mahir, Atribut, Relevan serta Teknologi.

Anugerah anjuran bahagian pendidikan Sinar Harian, Sinar Bestari dengan tajaan Bank Rakyat buat julung kali itu melibatkan empat kategori dipertandingkan untuk sekolah rendah dan menengah kerajaan.

Kategori Sekolah Menengah Bandar dimenangi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki, Kuala Lumpur manakala Sekolah Menengah Luar Bandar dirangkul SMK Saujana Utama, Selangor.

Anugerah bagi kategori Sekolah Rendah Bandar menjadi milik Sekolah Kebangsaan (SK) Dato' Wan Kemara, Kedah dan Sekolah Kebangsaan Chopin, Perak untuk Sekolah Rendah Luar Bandar.

Pemenang bagi empat kategori tersebut masing-masing menerima hadiah wang tunai sebanyak RM10,000, trofi dan sijil penyertaan.

Sementara itu, satu lagi pengiktirafan bagi Anugerah Khas Juri pula dinobatkan kepada SK Pos Dipang, Perak dengan membawa wang tunai RM5,000, trofi dan sijil penyertaan.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim di sebuah hotel di sini pada Rabu.

Hadir sama, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali; Presiden The Hope Factory Malaysia, Tengku Munazirah Tengku Abdul Samad; Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani dan Naib Presiden Komunikasi dan CSR Bank Rakyat, Nizam Abu Samah.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Amzad (tiga dari kanan) dan Farah (dua dari kiri) bergambar selepas menyempurnakan simbolik gimik penutupan pada Majlis Anugerah Sekolah SMART Sinar Bestari yang berlangsung di sebuah hotel pada Rabu. Turut bersama Pengarang Eksekutif Sinar Bestari, Meen Tahrin (kiri), Pkharuddin (tiga dari kiri), Nizam (dua dari kanan) dan Tengku Munazirah. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
Ahmad Amzad (tiga dari kanan) dan Farah (dua dari kiri) bergambar selepas menyempurnakan simbolik gimik penutupan pada Majlis Anugerah Sekolah SMART Sinar Bestari yang berlangsung di sebuah hotel pada Rabu. Turut bersama Pengarang Eksekutif Sinar Bestari, Meen Tahrin (kiri), Pkharuddin (tiga dari kiri), Nizam (dua dari kanan) dan Tengku Munazirah. - Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

Ahmad Amzad dalam ucapan perasmian berkata, apa yang dilakukan oleh Sinar Bestari wajar dipuji kerana lima ciri S.M.A.R.T yang dipertandingkan itu merangkumi semua aspek diperlukan dalam sistem pendidikan.

"Bagi sekolah yang menang, tahniah diucapkan dan saya berharap ia tidak terhenti setakat ini dan akan berterusan serta ambil peluang untuk meneroka teknologi dalam usaha memantapkan sistem pendidikan hari ini.

"Jadikan situasi pada hari ini sebagai titik tolak untuk memacu kemajuan dalam teknologi pendidikan negara selain memberi kesedaran dan menggalakkan lebih ramai anak-anak mahir dalam teknologi," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin berkata, program tersebut adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) Sinar Karangkraf sebagai sebuah badan korporat.

Menurutnya, ia bagi menghargai kejayaan, bakat dan potensi sekolah serta pelajar di negara ini.

"Alhamdulillah, sambutan yang diterima daripada sekolah yang menghantar penyertaan amat menggalakkan.

"Ini menunjukkan walaupun ketika pandemik Covid-19 yang melanda negara dan dunia, namun cabaran dan kekangan yang dihadapi ternyata tidak melemahkan semangat guru dan pelajar untuk terus meningkatkan kecemerlangan.

"Malah ia menjadi pendorong untuk mencipta lebih banyak kejayaan sehingga di peringkat antarabangsa," jelasnya.

Tambah Farah, sebagai kesinambungan, Sinar Bestari dan Sinar Harian akan meneruskan misi penganjuran anugerah itu pada 2023 dengan kempen #GenerasiMahirBerilmu.

Katanya, penganjur akan turun padang ke setiap sekolah bagi bertemu dengan pelajar untuk berkongsi kemahiran dan pengetahuan.

"Saya mengalu-alukan kehadiran dan sokongan syarikat korporat seperti Bank Rakyat untuk kita sama-sama perkasakan kemahiran dan ilmu kepada generasi akan datang," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!