PM, Presiden UMNO sehaluan hadapi PRU15: Hishammuddin
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menunjukkan mereka berdua berada di dalam satu barisan yang sama untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Bendahari Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Hishammuddin yang juga Menteri Kanan Pertahanan berkata, pimpinan parti dan pemimpin-pemimpin parti di dalam kerajaan perlu merapatkan barisan saf serta menjaga kawasan masing-masing bagi mengukuhkan kedudukan parti di peringkat akar umbi.
"Siapa sahaja yang bakal dicalonkan oleh parti nanti, mereka perlu berkerja bersungguh-sungguh untuk memastikan kemenangan berpihak kepada BN,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan demonstrasi keupayaan kesiagaan Pasukan Khas Pertahanan di Lapang Sasar Menembak Praktikal, Kem Sungai Besi di sini pada Rabu.
Hishammuddin turut memberi bayangan akan kekal bertanding dan mempertahankan kerusi di Parlimen Sembrong yang dimenanginya sejak 2004.
"Insya-ALLAH saya akan bertanding di Sembrong, dan bagi kepimpinan Kementerian Pertahanan serta Angkatan Tentera Malaysia, seandainya Parlimen dibubarkan pada esok pun kita sudah bersedia,” katanya.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan baru-baru ini memaklumkan Majlis Tertinggi UMNO mahukan supaya Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat bagi membolehkan PRU15 diadakan tahun ini dan Ismail Sabri akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran kepada Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!