Kaki kejang tak halang Harrif naik podium

Semangat juang tinggi lonjak Harrif naik podium buat kali kedua di Taiwan. - Foto FB TSG
Semangat juang tinggi lonjak Harrif naik podium buat kali kedua di Taiwan. - Foto FB TSG
A
A
A

BIARPUN berdepan kekejangan kaki, namun tekad enggan mengalah melonjakkan pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Harrif Saleh untuk menaiki podium di peringkat keempat Tour de Taiwan pada Rabu.

Selepas menahan kesakitan pada 10 kilometer (km) terakhir, pelumba berpengalaman itu kembali pada tahap terbaik, namun terpaksa berpuas hati di tempat kedua di belakang pelumba Team UKYO, Raymond Kreder.

Tempat ketiga menjadi milik Luke Lamperti dari Trinity Racing.

“Perlumbaan hari ini (Rabu) secara keseluruhan tidak ada masalah, cuma 10km terakhir saya mengalami kekejangan kaki,” katanya

Pujian harus diberikan kepada Harrif yang mempamerkan semangat juang tinggi dalam perlumbaan sejauh 158.47 kilometer (km) di Kaohsiung City itu untuk mengulangi pencapaian di peringkat pertama, Ahad lalu.

“Rakan-rakan sepasukan banyak membantu pada 5km terakhir dan berbaki satu km Youcef Reguigui memainkan peranan untuk menarik saya.

“Pada 200 meter (m) menghampiri penamat saya cuba memberi henjutan, namun sedikit sahaja tumpas untuk berada di kedudukan kedua.

“Apa pun, Alhamdulillah dengan keputusan ini. Walaupun hanya sedikit lagi untuk memperoleh tempat pertama,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Harrif bersama Reguigui dan tiga lagi pelumba lain, Goh Choon Huat, Jambaljamty Sainbayar serta Jeroen Meijers akan beraksi di peringkat kelima sejauh 149.83km di Dapeng Bay pada Khamis.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!