Najib fail semakan kehakiman tidak dibenar ke sidang Dewan Rakyat

Najib
Najib
A
A
A

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, bagi mencabar keputusan Jabatan Penjara yang tidak membenarkannya untuk menghadiri persidangan Dewan Rakyat, bermula Isnin lalu.

Najib, 69, memfailkan notis itu melalui Tetuan Shafee & Co dengan menamakan kerajaan Malaysia, Kementerian Dalam Negeri dan Komisioner Jeneral Jabatan Penjara sebagai responden pertama hingga ketiga.

Perkara itu disahkan oleh peguamnya, Muhammad Farhan Muhammad Shafee dengan menyatakan bahawa, Ahli Parlimen Pekan ini memohon dua perisytiharan iaitu diberikan kebenaran akses kepada pegawai Parlimennya bagi menjalankan fungsi sebagai ahli Parlimen.

“Permohonan kebenaran itu juga bagi membolehkan beliau menghadiri persidangan Dewan Rakyat,” katanya ketika dihubungi media menerusi aplikasi WhatsApp.

Semakan tersebut akan dibicarakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid pada 12 Oktober ini.

Sementara itu, dalam notis usul yang diperoleh, Najib menfailkan permohonan untuk membatalkan keputusan responden ketiga yang tidak membenarkan Najib selaku pemohon untuk bertugas dan hadir ke Parlimen pada tarikh yang dijadualkan.

"Ia turut membabitkan pengisytiharan bahawa pemohon berhak mendapat akses yang munasabah untuk bertugas," kata notis itu.

Najib kini menjalani hukuman jel 12 tahun di Penjara Kajang atas kesalahan menyeleweng dana Syarikat SRC International Sdn Bhd dan didenda RM210 juta.

Artikel Berkaitan:


Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!