MYTV tidak hentikan siaran RTM, TV3
KUALA LUMPUR - MYTV Broadcasting Sdn Bhd menegaskan tidak menarik atau memberhentikan saluran TV3 dan RTM dalam siarannya.
Menerusi notis dikeluarkan syarikat berkenaan, MYTV kini sedang melaksanakan kerja menaik taraf kualiti siaran digital myFreeview di seluruh negara.
“Bagi pengguna dekoder DVB-T2, letakkan dekoder dalam keadaan bersedia (standby) apabila tidak menonton agar proses menaik taraf dapat dilakukan secara automatik.
“Bagi pengguna TV digital/IDTV, lakukan imbasan saluran (channel scan) semula secara manual atau automatik.
“Segala kesulitan amat kami kesali. Terima kasih,” menurut notis tersebut yang dimuat naik dalam laman web rasmi syarikat tersebut.
Minggu lalu, beberapa pengguna MYTV mendakwa mereka tidak lagi dapat menonton saluran TV3 dan RTM melalui myFreeview.
Pada 6 Jun 2017, televisyen terestrial digital, myFreeview dilancarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pelancaran myFreeview menandakan bermulanya era siaran terestrial digital menggantikan siaran terestrial analog.
Najib turut mengumumkan penambahan pemberian percuma dekoder myFreeview dari 2 juta kepada 4.2 juta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!