Brad Pitt pukul, cekik anak?
LOS ANGELES - Aktor Hollywood, Brad Pitt didakwa memukul muka dan mencekik salah seorang anaknya ketika terlibat pergaduhan dengan Angelina Jolie, menurut dokumen mahkamah difailkan bekas isterinya itu pada Selasa.
Kandungan dokumen yang dikemukakan di sebuah mahkamah di Los Angeles dan turut mendapat liputan meluas media tempatan mendedahkan kejadian itu berlaku ketika pasangan popular tersebut menaiki pesawat peribadi bersama anak mereka dari California ke Perancis pada September 2016.
"Konfrontasi itu berlaku apabila Pitt mendakwa Jolie terlalu 'mementingkan' anak mereka. Dia turut mengasari pelakon wanita berkenaan," lapor The New York Times.
Difahamkan, Jolie menuntut perceraian beberapa hari selepas kejadian itu.
Sebelum ini, Pitt pernah bertelagah tentang hak penjagaan enam anak mereka termasuk tiga anak angkat dan menerusi kes terbaharu pasangan itu dikatakan bertelingkah tentang hak pemilikan hartanah mewah, Chateau Miraval di Perancis.
Pemfailan itu dibuat selepas Jolie mendakwa rundingan tentang penjualan kepentingannya di Chateau Miraval kepada Pitt gagal selepas bekas suaminya menuntut beliau menandatangani perjanjian untuk mengunci mulut mengenai penderaan fizikal dan emosi yang pernah dilakukan aktor tersebut. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!