[VIDEO] UMNO-Pas akan runding semula kerjasama PRU15

Mahdzir (kiri) ketika beramah mesra dengan pelajar IPTA yang terpilih menerima sumbangan pada Rabu.
Mahdzir (kiri) ketika beramah mesra dengan pelajar IPTA yang terpilih menerima sumbangan pada Rabu.
A
A
A

KUALA NERANG - UMNO tidak menolak kemungkinan akan menjalin kerjasama dengan Pas bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, bagaimanapun keputusan muktamad berhubung kerjasama itu hanya akan dimuktamadkan menjelang PRU15 selepas Parlimen dibubarkan.

Menurutnya, sehubungan itu lima kepimpinan tertinggi UMNO (Top 5) akan mengadakan rundingan semula bersama Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bagi mencapai kata sepakat bawah gagasan Muafakat Nasional (MN).

"Apa yang akan diputuskan untuk menghadapi pilihan raya ini adalah untuk kebaikan bersama.

"Justifikasi daripada apa perkara yang berlaku di sekeliling itu diambil kira untuk kita justify kepada apa benda yang nak diputuskan, sudah tentulah mengambil semua percaturan politik semasa," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan kepada pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Nerang di sini pada Rabu.

Pada Selasa, Ketua Komunikasi BN Selangor, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, UMNO berkemungkinan akan meneruskan kerjasama dengan Pas dalam PRU15 selepas diminta mengulas sejurus perjumpaan khas bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Sebelum itu, Ahmad Zahid seolah memberi bayangan akan wujud sinar baharu dalam gagasan MN setelah parti itu berkali-kali tegaskan mahu bergerak solo pada PRU15.

Namun dalam satu kenyataan pada Ahad, Ahmad Zahid berkata, sebarang usaha memulihkan MN atau permuafakatan dan kerjasama mestilah kembali berpandukan kepada prinsip dan semangat piagam asal yang pernah dimeterai bersama Pas.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, UMNO tidak pernah memadamkan agenda penyatuan ummah yang menjadi asas kestabilan politik tanah air.

Dalam pada itu, Mahdzir menyifatkan, masa akan menentukan apa yang akan berlaku pada gagasan MN walaupun sebelum ini kedua-dua parti berkenaan dilihat 'berperang mulut' antara satu sama lain.

"Masa akan menentukanlah, apa keadaannya apabila sampai masanya.

"Dalam mana-mana organisasi politik atau mana-mana parti yang menjadi 'leader' kepada mana-mana parti politik, dia mempunyai sasaran akhir untuk menang dalam pilihan raya," katanya lagi.

Menurut Ahli Parlimen Padang Terap itu, sekiranya rundingan terbaharu gagal mencapai kesepakatan, UMNO hanya mempunyai dua pilihan.

"Dalam PRU ada dua saja, sama ada BN pergi secara solo atau atas permuafakatan yang disebut Muafakat Nasional," ujarnya.

Ditanya bilakah masa sesuai untuk kedua-dua kepimpinan tertinggi mengadakan rundingan susulan bahang PRU15 semakin terasa, Mahdzir berkata, masa akan menentukan sama ada cepat atau lambat.

"Sama ada segera atau lambat sikit dalam sehari dua atau seminggu lagi, tapi dalam masa terdekat ini. Apa saja perubahan akan berlaku dalam masa-masa ini lah," ujarnya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!