‘Guna alasan musim hujan untuk beli masa’
SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa parti lawan BN tahu fitnah dan janji-janji baharu mereka tidak dapat memperdayakan rakyat.
Menurutnya, disebabkan itu mereka berharap alasan musim hujan dapat terus 'membeli masa' untuk mengelak daripada berdepan penentuan rakyat.
Ujar beliau, muslihat sebenar parti lawan BN enggan berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana tahu mereka ditolak oleh majoriti rakyat.
"Jentera BN perlu bingkas menjelaskan kepada rakyat bahawa lawan BN membantah PRU15 bukanlah kerana musim hujan.
"Rakyat perlu dibentangkan dengan fakta lawan BN telah menolak proses demokrasi daripada dilangsungkan sejak tahun lalu.
"Bermula dengan alasan Covid-19 masih ada ketika imuniti kelompok telah dicapai kemudian memberi pula alasan tidak perlu diadakan PRU15 kerana pembangkang telah menjalin MoU (memorandum persefahaman) dengan kerajaan.," katanya dalam siaran di Facebooknya pada Rabu.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, rakyat perlu difahamkan PRU15 amat penting bagi membentuk kerajaan yang stabil dan kukuh untuk berdepan risiko bencana.
“Fakta itu penting diperjelaskan agar rakyat mampu membuat pertimbangan yang saksama dalam menilai fitnah baharu.
“PRU15 amat mustahak bagi membentuk kerajaan yang berdaya mendepani ramalan kemelesetan ekonomi global tahun depan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!