EU setuju pakej sekatan baharu ke atas Rusia
BRUSSELS - Negara-negara Kesatuan Eropah (EU) pada Rabu mencapai persetujuan mengenai pakej sekatan kelapan terhadap Rusia sebagai tindak balas kepada pergerakan separa tentera baru-baru ini dan penaklukan haram wilayah-wilayah di Ukraine.
"Duta (EU) mencapai persetujuan politik mengenai sekatan baharu terhadap Rusia sebagai tindak balas EU terhadap penaklukan haram wilayah Ukraine oleh Putin,” lapor Agensi Anadolu memetik pengumuman Czech selaku presiden Majlis Kesatuan Eropah.
Langkah tersebut termasuk larangan mengangkut minyak ke negara bukan EU melebihi harga tertentu, kebanyakannya menjejaskan industri perkapalan Greece, pentadbiran Cyprus Greek dan Malta.
Blok itu juga melanjutkan larangan importnya ke atas produk keluli, pulpa kayu, kertas, mesin dan peralatan, bahan kimia, plastik, rokok ke Rusia, kata Presiden EU itu.
Menurut anggaran Suruhanjaya Eropah, langkah itu akan melucutkan pendapatan Rusia sebanyak €7 bilion (AS$6.96 bilion) setiap tahun.
EU mengehadkan lagi eksport IT, kejuruteraan dan perkhidmatan undang-undang ke Rusia serta menambah senarai barangan berteknologi tinggi yang tidak boleh dijual kepada negara itu.
Pakej baharu itu juga tambahan kepada senarai sekatan individu yang bertanggungjawab menggerakkan lebih 300,000 rakyat Rusia dan penganjuran referendum baru-baru ini di empat wilayah Ukraine yang membawa kepada Moscow mengisytiharkan 'pengilhakan' (penggabungan paksa), satu langkah yang dikecam secara meluas, tambah laporan itu.
Sejak permulaan perang Rusia di Ukraine pada Februari, sekatan EU telah menyasarkan antara lain, Presiden Vladimir Putin dan Menteri Luar Negeri Sergey Lavrov, mengharamkan import emas, minyak dan arang batu Rusia serta eksport barangan mewah dan berteknologi tinggi selain mengecualikan bank Rusia dan Belarus daripada sistem pembayaran antarabangsa SWIFT. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!