Barakan 'kilang' pemain muda
PROGRAM pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi secara mega perlu diperkukuhkan ibarat sebuah 'kilang' yang beroperasi berterusan tanpa henti bagi memastikan Malaysia mempunyai kelompok pemain muda berkualiti yang sangat besar.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Safirul Azli Abu Bakar berkata, langkah itu juga bagi membolehkan negara mempunyai lapisan generasi pemain pelbagai peringkat umur pada skala yang besar menerusi kerjasama berapa pihak termasuk kerajaan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan kelab.
Katanya, program pembangunan tersebut mengambil masa lama kerana ia adalah satu proses panjang dan tidak boleh berhenti seperti dilakukan oleh Jepun yang sudah bermula sejak 30 tahun lalu.
“Korea Selatan pun sudah lama mengaktifkan program ini di peringkat akar umbi. Begitu juga dengan negara jiran, Thailand dan Vietnam, malah mereka lebih awal dari kita.
“Program pembangunan secara besar-besaran di negara kita baru bermula pada 2014. Malah, di Eropah seperti Jerman pun sudah lama buat program ini. Mereka mempunyai beratus ribu bakat muda yang berpotensi,” katanya kepada Sukan Sinar.
Beliau berkata, program pembangunan bakat muda itu boleh bergerak selari dengan projek naturalisasi negara, namun pemilihan pemain perlu bermula pada usia yang muda seperti berumur 25 tahun.
Tambah beliau, pada usia muda mereka boleh bermain untuk tempoh antara lima hingga tujuh tahun seperti dilakukan oleh Qatar yang memberi kerakyatan kepada pemain muda dari Iraq, Mesir dan Maghribi.
Bagaimanapun katanya, bukan mudah untuk mendapatkan pemain import berkualiti untuk diberi kerakyatan serta mencari pemain berdarah campuran dan cabaran lain adakah mereka sanggup menyarung jersi negara.
“Saya dari dulu konsisten bahawa pemilihan pemain naturalisasi perlu pada usia muda. Pemilihan pemain ini adalah hak pasukan atau kelab dengan kerjasama FAM.
“Namun akhirnya terserah kepada ketua jurulatih kebangsaan untuk memilih yang terbaik bagi mewakili negara. Jangkaan peminat kepada mereka amat tinggi.
“Adakalanya mereka pamer aksi terbaik dan pada ketika lain hambar. Ini adalah perkara biasa bagi pemain bola sepak, prestasi turun naik.
“Bukan setiap tahun boleh dapat pemain berkualiti seperti Arif Aiman Hanapi, tetapi ia muncul berperingkat dan kita perlu bersabar serta terus bekerja keras,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!