Ternakan kelulut bantu tingkat ekonomi B40

Peserta EPIC Agriprentice Program Ternakan Kelulut sedang diberi penerangan tentang ternakan kelulut.
Peserta EPIC Agriprentice Program Ternakan Kelulut sedang diberi penerangan tentang ternakan kelulut.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC), sebuah anak syarikat kerajaan Terengganu memperuntukkan sebanyak RM30,000 bagi melaksanakan program tanggungjawab sosial membantu meningkatkan ekonomi golongan B40 melalui ternakan kelulut.

Ketua Pegawai Eksekutif EPIC, Ridzuan Ali berkata, usaha tersebut dilaksanakan dengan penganjuran EPIC Agriprentice Program Ternakan Kelulut melibatkan penyertaan 10 peserta terpilih dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk.

“Pelaksanaan EPIC Agriprentice Program Ternakan Kelulut merupakan sebahagian dari program tanggungjawab sosial syarikat dalam menyokong pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Terengganu.

"Objektif utama program ini adalah membantu golongan berpendapatan rendah menjana pendapatan sampingan selain menggalakkan mereka menceburi industri kecil dan sederhana yang boleh mendatangkan keuntungan berpanjangan.

"Ia juga bertujuan membimbing pengusaha ternakan kelulut yang baru bermula dan kita turut membantu menambahbaik peralatan bagi memenuhi kehendak pasaran dalam dan luar negara," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

EPIC Agriprentice Program Ternakan Kelulut yang berlangsung selama sehari pada Rabu dianjurkan hasil kerjasama Galeri Madu Kelulut Bukit dan Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk.

Antara peserta yang menyertai program tersebut.
Antara peserta yang menyertai program tersebut.

Program ini diadakan di Galeri Madu Kelulut Bukit dengan tujuh modul pengendalian dan latihan praktikal asas memasang ‘topping’ serta proses penyedutan hasil madu kelulut oleh Pengasas Galeri Madu Kelulut Bukit, Sufian Mat Nor.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Pengurus Besar Komunikasi Strategik EPIC, Rusdi Ngah; Ketua Kumpulan Penyelidik Lebah & Kelulut dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Dr Shamsul Bahri Abd Razak dan Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Terengganu, Mohamad Wisam Mejam.

Ridzuan berkata, garis panduan dalam mengendalikan sarang kelulut yang betul turut diberikan kepada peserta yang baru menceburkan diri dalam bidang ternakan kelulut agar mampu mencapai kejayaan lebih tinggi.

"EPIC sentiasa prihatin dengan golongan B40 dan kita harap usaha yang kecil ini dapat membantu peserta dalam menjana pendapatan sampingan serta berjaya memenuhi permintaan pasaran tempatan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!