Lazarul Mentor 7 teruja dapat anak lelaki
Menurut Lazarul atau nama lengkapnya Lazarul Afiezy Zakaria, 29, berkata, isterinya, Ayu Jasryn, 31, selamat bersalin anak lelaki secara normal.
"Pertama sekali ingin saya zahirkan rasa syukur kerana isteri saya telah pun selamat melahirkan anak kami yang mana bagi saya itu lebih penting," ujarnya kepada Sinar Harian.
Berkongsi dengan lebih lanjut, bapa kepada seorang zuriat perempuan, Leyla Annnatasya yang kini berusia 1 tahun 10 bulan, teruja apabila dapat anak lelaki.
"Mula-mula memang isteri saya nak anak perempuan lagi.
"Tetapi bila pergi buat pemeriksaan, dapat tahu jantina baby lelaki.
"Saya teruja sebab sepasang. Bagaimanapun andai ditakdirkan dua-dua perempuan saya tak kisah, ikut ketentuan Ilahi
"Nama anak kedua kami Noah Hayat," luahnya.
Diajukan pula tentang nama anak, protege kepada Datuk Syafinaz Selamat, ini berkata, akan duduk berbincang bersama isteri untuk dapatkan nama anak yang baik selain turut mendapatkan pandangan daripada kedua ibu bapa mereka.
"Tentang nama anak ini mulanya saya berbincang bersama isteri kemudian kami rujuk nama-nama Islam yang membawa maksud baik-baik.
"Selain itu juga kami mendapatkan pandangan daripada kedua orang tua," katanya.
Untuk rekod, pasangan Lazarul dan Ayu selamat diijabkabulkan pada Jun 2016.
Dalam perkembangan terkini, Lazarul dalam fasa mencari material sesuai untuk mengeluarkan single pertama bersama komposer terkenal.
"Insya-ALLAH doakan agar semuanya berjalan dengan lancar dan dipermudahkan.
"Saya masih lagi menunggu respon daripada ketiga-tiga komposer hebat untuk bekerjasama, mereka ialah Hael Husaini, Ezra Kong dan Alif Sleeq," akhirinya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!