Isu tuntutan Sabah: Wisma Putra pantau ahli politik Filipina
KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengesahkan Wisma Putra sudah mengambil maklum perkara yang dibangkitkan beberapa ahli politik Filipina yang memainkan isu tuntutan pihak yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu ke atas Sabah.
Beliau turut menyifatkan tindakan ahli politik terbabit sebagai menangguk di air keruh dan mengambil kesempatan.
“Wisma Putra sedang memantau perkembangan isu berkenaan dan tuntutan pihak mendakwa waris (Kesultanan) Sulu ini adalah tuntutan peribadi kepada Malaysia (yang) menuntut daripada apa yang dikatakan sewaan jajahan Sabah, bukan tuntutan yang ada kena mengena dengan kedaulatan Sabah itu sendiri.
"Setakat ini, Wisma Putra sudah mengambil maklum ada perkara dibangkitkan senator dan ahli politik di Filipina. Apabila kerajaan Filipina beri maklum balas kepada kehendak ahli politik ini, barulah Wisma Putra mengambil tindakan," katanya ketika menjawab soalan tambahan Chan Foong Hin (PH-Kota Kinabalu) di Dewan Rakyat pada Khamis.
Foong Hin mahu mengetahui sama ada kerajaan akan memanggil Duta Filipina berhubung tindakan dua Senator negara itu yang mahu Filipina memperbaharui tuntutan ke atas Sabah.
Menjawab soalan asal Datuk Seri Azizah Mohd Dun (PN-Beaufort) mengenai status tindakan diambil oleh kerajaan berhubung isu tuntutan pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu, Wan Junaidi menjelaskan, kerajaan giat melaksanakan tindakan komprehensif dalam menghadapi semua tindakan perundangan di Sepanyol, Perancis, Luxembourg dan Belanda.
"Sehingga kini, pihak penuntut yang mendakwa waris kepada Kesultanan Sulu diwakili sekumpulan peguam diketuai oleh Paul Cohen membawa proses arbitrasi ke beberapa negara iaitu bermula di Sepanyol di mana pada 29 Jun 2021, Mahkamah Madrid memutuskan bahawa pelantikan Penimbang Tara, Dr Gonzalo Stampa telahpun terbatal dan tidak sah.
"Namun, beliau bersama pihak penuntut bertindak tanpa mempedulikan keputusan pembatalan terbabit dan memindahkan proses timbang tara dari Sepanyol ke Perancis.
"Terkini, pasukan peguam penuntut dalam proses untuk menguatkuasakan 'final award' oleh Dr Gonzalo Stampa di Belanda bagi menuntut melalui proses sitaan aset syarikat Malaysia di sana dan kerajaan melalui Jabatan Peguam Negara sentiasa komited dan akan mencabar segala proses perundangan yang perlu dihadapi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!