PRU15: Warisan beri bayangan bergerak solo

Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari
Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari
A
A
A

KOTA KINABALU - Parti Warisan (Warisan) beri bayangan akan bergerak solo dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) dengan menyatakan akan bekerjasama dengan rakyat.

Ketua Penerangan Warisan, Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari berkata, pendirian parti itu jelas seperti yang disampaikan Presiden Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebelum ini.

"Pendirian Warisan cukup jelas seperti yang telah berulang kali disampaikan oleh Presiden dalam siri jelajah beliau bahawa Warisan hanya akan bekerjasama dengan rakyat.

"Saya menyeru kepada semua pengundi khususnya di Sabah agar membulatkan tekad untuk mengundi Warisan demi kestabilan politik dan kemajuan Sabah," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Bercakap mengenai persediaan untuk menghadapi PRU15, Awang Ahmad Sah berkata, Warisan sentiasa bersiap sedia sekiranya PRU diadakan pada bila-bila masa.

Katanya, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah berulang kali mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membubarkan Parlimen.

"Terkini, selepas berjumpa dengan Ketua Ketua Bahagian UMNO beliau membayangkan perjumpaan tersebut adalah perjumpaan terakhir dengan pemimpin UMNO sebelum parlimen dibubarkan.

"Melalui berita berita dan sumber sumber UMNO yang dapat kita lihat tersebar dan tular di media sosial, dijangkakan Perdana Menteri akan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memohon perkenan agar Parlimen dibubarkan.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya diperkenankan, negara akan berdepan dengan PRU15 dan dijangka akan mengundi pada November 2022.

"Warisan sentiasa bersiap sedia sekiranya PRU diadakan pada bila bila masa," katanya.

Sehubungan itu, Awang Ahmad Sah berkata, pelancaran jentera pilihan raya Warisan akan dibuat di Tenom Yun Lee Food Court pada 22 Oktober depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!