Rumah Ngaji Teluk Muroh hasrat Khatam Tadabbur di Madinah

Ahli Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh bergambar bersama sepanduk Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0 yang dibawa ke Madinah, Arab Saudi.
Ahli Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh bergambar bersama sepanduk Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0 yang dibawa ke Madinah, Arab Saudi.
A
A
A

LUMUT - Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh berhasrat untuk turut serta di dalam Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0 di Madinah, Arab Saudi pada 8 Oktober nanti.

Penggerak Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh, Datin Maziah Rafie berkata, perancangan itu dibuat memandangkan seramai kira-kira 47 ahli Rumah Ngaji itu akan berangkat ke Tanah Suci bagi menunaikan umrah pada Khamis.

Menurutnya, pada peringkat awal, kumpulan jemaah umrah itu bertolak ke Tanah Suci pada 14 September lalu tetapi penerbangan ditangguhkan atas sebab yang tidak dapat dielakkan.

"Kami di sini sebenarnya mahu menyertai Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0 di Putrajaya itu tetapi ALLAH kurniakan rezeki kami untuk tunaikan umrah pada tarikh itu.

"Jadi saya terfikir program ini sesuatu yang baik, jadi apa salahnya untuk turut bersama-sama rakan-rakan meraikan program tersebut di Madinah," katanya kepada Sinar Harian.

Bercerita mengenai perancangan menunaikan umrah itu, Maziah berkata, ahli Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh bercadang untuk melaksanakan ibadah tersebut sejak dua tahun lalu, namun disebabkan pandemik Covid-19 hasrat mereka tertangguh.

Menurutnya, selepas bertanya dengan rakan-rakan ahli Rumah Ngaji Komuniti Teluk Muroh, mereka terus nyatakan hasrat untuk merealisasikan pada tahun ini.

"Pada awalnya, saya dan suami hanya bersembang-sembang dengan sahabat-sahabat Rumah Ngaji tentang hasrat kami untuk ke Mekah. Tak sangka pula ramai yang terjentik hati untuk turut serta.

Artikel Berkaitan:

"Bermula dari itu, semakin hari semakin ramai yang nak ikut sehinggalah seramai 47 orang, kita dapat kumpulkan untuk ke Tanah Suci," katanya.

Sementara itu, seorang ahli Rumah Ngaji yang akan menyertai kumpulan itu, Noordina Samad, 55, menjelaskan mereka rasa beruntung bukan sahaja dapat menunaikan umrah tetapi meraikan Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0 di Tanah Suci nanti.

Katanya, selama ini dia tidak pernah ketinggalan dalam setiap program Rumah Ngaji terutama World #QuranHour dan Malaysia #QuranHour.

Setelah bersiaran sebanyak 838 episod, program My #QuranTime sampai ke kemuncaknya dengan penganjuran Majlis Konvokesyen Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0 yang akan berlangsung pada 8 Oktober depan.

Program yang julung-julung kali diadakan itu akan berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya menjelang sambutan Maulidur Rasul 1444H.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!