[VIDEO] Jentera pengurusan bencana diarah bersedia jika PRU15 musim banjir
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Mastura Mohd Yazid berkata, mesyuarat Task Force Persediaan Menghadapi MTL 2022/2023 dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali pada 3 Oktober lepas membincangkan mengenai kemungkinan PRU15 diadakan sewaktu MTL.
"Taskforce ini akan memperhalusi langkah-langkah yang perlu diambil," katanya menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Khamis.
Khoo ingin tahu sama ada perbincangan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diadakan bagi menghadapi PRU15 semasa banjir, serta kesesuaian melaksanakannya pada musim itu.
Berdasarkan rekod, Mastura berkata, pilihan raya umum pernah diadakan pada November 1999 dan terbaharu semasa Pilihan Raya Negeri Sarawak pada 18 Disember 2021.
Mastura berkata, kebajikan 33 juta Keluarga Malaysia sentiasa menjadi keutamaan kerajaan serta Perdana Menteri, dan kerajaan tentu sekali akan mengambil kira pandangan semua agensi seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Meteorologi Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan SPR sebelum membuat sebarang keputusan.
"Saya yakin sebarang keputusan untuk mengadakan PRU adalah di bawah kebijaksanaan Perdana Menteri untuk mengangkat sembah perkara ini kepada Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, sebagai persediaan menghadapi ketidaktentuan cuaca dan untuk menghadapi MTL 2022/2023, kerajaan mengambil langkah termasuk dari aspek prabencana, persediaan tindak balas bencana dan penyelarasan pasca bencana.
Antaranya, melaksanakan program simulasi dan sesi libat urus di seluruh negara bagi memantapkan persediaan jentera pengurusan bencana di setiap peringkat.
Bagi aspek pengurusan mangsa, Jabatan Kebajikan Masyarakat telah bersiap sedia untuk mengaktifkan 6,010 pusat pemindahan sementara di seluruh negara yang mempunyai kapasiti untuk menempatkan 1,620,855 mangsa.
Beliau menjawab soalan asal Noor Amin Ahmad (PH-Kangar) mengenai persediaan kerajaan bagi menghadapi kemungkinan banjir pada lewat tahun ini. - Bernama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!