Pertemuan Ahmad Zahid-UMNO Johor tidak bincang tarikh PRU15

Zahari (tengah, belakang) menyaksikan MoU dalam Program Kolaborasi di Antara Syarikat Peneraju dan Pengusaha Tanaman dan Industri Asas Tani yang diadakan di sebuah hotel di Johor Bahru pada Khamis.
Zahari (tengah, belakang) menyaksikan MoU dalam Program Kolaborasi di Antara Syarikat Peneraju dan Pengusaha Tanaman dan Industri Asas Tani yang diadakan di sebuah hotel di Johor Bahru pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pertemuan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan 40 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Johor di kediaman rasmi Menteri Besar Johor di sini pada malam Rabu, bukan untuk membincangkan tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua UMNO Bahagian Segamat, Datuk Zahari Sarip berkata, sebaliknya itu merupakan pertemuan biasa dan pertama kali untuk semua ADUN BN Johor dengan Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN.

"Tidak ada yang 'special' pun dalam pertemuan itu. Cuma pertemuan pertama antara ADUN Johor BN dengan Presiden UMNO, iaitu kepimpinan tertinggi parti di peringkat Pusat.

"Tiada perbincangan berhubung bilakah tarikh pelaksanaan PRU15, soalan itu boleh ditanyakan secara terus kepada Perdana Menteri, bukan kami (UMNO Johor)," katanya yang juga ADUN Buloh Kasap.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Kolaborasi Di Antara Syarikat Peneraju dan Pengusaha Tanaman dan Industri Asas Tani yang diadakan di sebuah hotel di sini pada Khamis.

Zahari berkata, antara intipati pertemuan adalah mengucapkan tahniah atas kejayaan BN yang memenangi 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus berjaya menubuhkan kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor awal tahun ini.

Namun kata Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor itu, terdapat satu persetujuan telah dicapai antara kepimpinan tertinggi UMNO itu dengan kesemua ADUN BN Johor yang hadir.

Jelasnya, persetujuan itu adalah untuk memastikan kerjasama baik antara semua ADUN BN Johor dengan calon dan jentera BN menjelang PRU15.

Artikel Berkaitan:

"Jentera UMNO telah membantu kemenangan kami dalam PRN Johor lalu, jadi adalah tugas dan tanggungjawab kami untuk membantu kemenangan calon-calon BN di kerusi Parlimen nanti," kata beliau.

Pada malam Rabu, Ahmad Zahid mengadakan pertemuan dengan kesemua 40 ADUN BN di negeri ini yang turut dihadiri Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Untuk rekod, BN Johor berjaya memperoleh 40 kerusi daripada 56 kerusi DUN dipertandingkan pada PRN Johor, Mac lalu.

Pada PRU14, BN Johor hanya memperoleh lapan kerusi daripada semua 26 kerusi Parlimen yang dipertandingkan di negeri ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!