[VIDEO] Ada kemungkinan bincang bubar Parlimen

Ismail Sabri. Foto Bernama
Ismail Sabri. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Agenda pembubaran Parlimen berkemungkinan dibincangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, petang ini.

Ismail Sabri berkata, perkara itu boleh dicapai sekiranya perihal berkaitan kabinet diselesaikan awal.

"Kita tengok, kalau bincang sampai Maghrib, tidak sempatlah nak bincang hal lain," katanya.

Menurutnya, sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong merupakan rutin setiap minggu sebelum mesyuarat kabinet berlangsung.

"Itu kita panggil pra kabinet untuk saya beri taklimat mengenai apa yang akan dibincangkan dalam kabinet atau apa pesanan Agong dan sebagainya," katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai membuat tinjauan persiapan akhir Bajet 2023 di Kementerian Kewangan pada Khamis.

Ditanya mengenai tarikh pembubaran Parlimen turut disentuh dalam perbincangan itu, Ismail Sabri berkata:

"Tidak pasti lagi sama ada bawa atau tidak," ujarnya.

Sementara itu, mengulas mengenai tindakan 12 Menteri PN mengutus surat kepada Agong bagi menyatakan pendirian ketidakwajaran pembubaran Parlimen tahun ini, Ismail Sabri berkata, ia terserah kepada Yang di-Pertuan Agong kerana pembubaran Parlimen merupakan kuasa Agong.

Artikel Berkaitan:

"Sesiapa sahaja berhak beri pandangan termasuk Perdana Menteri tetapi kuasa pemutus adalah Agong.

"Kalau mereka nak tulis surat atau buat kenyataan akhbar, boleh. Itu bebas tapi akhirnya keputusan oleh Agong," katanya.

Ismail Sabri dijadual akan menghadap Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada jam 4 petang ini.

Spekulasi bertiup kencang menyatakan bahawa Naib Presiden UMNO itu akan memohon perkenan Agong untuk membubarkan Dewan Rakyat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!