15 penyelam kutip 500kg pukat hantu

Penyelam yang menyertai program tersebut bergambar kenangan selepas berjaya mengutip 500 kilogram pukat hantu.
Penyelam yang menyertai program tersebut bergambar kenangan selepas berjaya mengutip 500 kilogram pukat hantu.
A
A
A

MARANG – Sebanyak 500 kilogram pukat hantu berjaya dikutip dalam Program Ghost Net iaitu aktiviti membersihkan kawasan terumbu karang yang dijalankan sekumpulan penyelam di sekitar perairan Pulau Kapas di sini, pada Rabu.

Pengarah program, Zaini Endut berkata, semua pukat hantu tersebut dikutip sukarelawan terdiri daripada 15 penyelam dari Terengganu, Kuala Lumpur dan Pahang bermula jam 10 pagi hingga 4 petang.

“Kita adakan program ini bagi memastikan keindahan dasar laut dapat dikekalkan demi kelangsungan taman laut, pukat hantu perlu dibersihkan kerana ia menjadi ancaman kepada ikan serta terumbu karang.

“Contohnya, pukat-pukat lama yang terbiar di sekitar terumbu karang akan memerangkap pelbagai spesis ikan dan haiwan tersebut akan mati terperangkap,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Khamis.

Antara pukat hantu yang berjaya dikutip oleh penyelam dalam Program Ghost Net di perairan Pulau Kapas, di sini pada Rabu.
Antara pukat hantu yang berjaya dikutip oleh penyelam dalam Program Ghost Net di perairan Pulau Kapas, di sini pada Rabu.

Pukat hantu atau 'Ghost Net' adalah istilah digunakan bagi merujuk kepada peralatan menangkap ikan seperti pukat, jaring atau jala yang hilang atau terbiar akibat tersangkut di dasar laut semasa menjalankan operasi menangkap ikan.

Menurut Zaini, ini aktiviti pembersihan kedua dilakukan pasukan tersebut di perairan Pulau Kapas selepas kali pertama pada Mei lalu di mana ketika itu sebanyak dua tan pukat hantu berjaya dikutip

“Pada kebiasaannya pukat hantu terdiri daripada jaring dan tali lama yang dikutip akan dibawa ke tanah besar untuk dilupuskan di tapak pelupusan sampah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Program Ghost Net anjuran Majlis Daerah Marang (MDM) dengan kerjasama Aqua Sport Diving Service akan diteruskan pada masa akan datang bagi memulihara sumber perikanan dan industri pelancongan.

“Kita sentiasa mengalu-alukan mana-mana penyelam yang berminat untuk menyertai aktiviti sukarelawan ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!