Perdana Menteri tiba di Istana Negara
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di Pintu Satu, Istana Negara pada jam 3.50 petang bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Ismail Sabri tiba menaiki kenderaan rasmi melambai kepada pengamal media sebelum dilihat memasuki Istana Negara.
Perdana Menteri sebelum ini memaklumkan bahawa beliau akan menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mempersembahkan kepada Seri Paduka Baginda berkenaan perkara yang dibincangkan kabinet termasuk perkara berbangkit.
Istana Negara sebelum ini turut menafikan laporan yang mendakwa Ismail Sabri mengadakan pertemuan itu bagi memohon pembubaran Parlimen.
Perkara itu disahkan sendiri oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin.
Bagaimanapun, spekulasi berkenaan pembubaran itu pastinya bakal terjawab hari ini.
Justeru, pertemuan bersama Seri Paduka Baginda bakal menjawab sama ada pertemuan itu dilakukan sebagai rutin biasa bagi menyembah maklum keputusan yang dibuat dalam Mesyuarat Kabinet termasuk Bajet 2023 atau pun turut mempersembahkan tarikh pembubaran Parlimen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!