Streram harap Tun M turun kempen
SEREMBAN - Calon PH Dr S Streram berharap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dapat membantunya berkempen menjelang PRK Rantau, Sabtu ini.
"Saya terima siapa saja yang turun. Tapi sudah tentu saya harap Dr Mahathir turun sendiri ke Rantau untuk beri sokongan kuat kepada saya kerana saya hanya mengetahui sokongannya terhadap saya di surat khabar.
"Saya diberitahu Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berjumpa dengan perdana menteri untuk dapatkan kepastian sama ada beliau turun atau tidak," katanya ketika ditemui melawat kematian di Mambau di sini, hari ini.
Terdahulu media melaporkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Dr Mahathir memberikan sokongan padu kepada Streram.
Sementara itu ditanya poster kempennya yang turut diletak dengan gambar Tun Mahathir dan Anwar, Streram berkata, dia bangga kerana gambar kedua pemimpin besar itu berada di sebelahnya.
"Itu satu penghormatan kepada saya apabila gambar presiden parti saya dan perdana menteri diletakkan di sebelah saya.
"Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan) adalah 'top person' dalam UMNO, jadi gambar siapa lagi yang boleh letak dengannya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!