Lebih 2,000 sekolah, fasiliti awam digazet sebagai PPS
PUTRAJAYA - Lebih 2,000 sekolah dan fasiliti awam seperti balai raya dan dewan orang ramai telah mula digazetkan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) bagi kegunaan orang ramai sekiranya negara dilanda bencana banjir, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Beliau berkata, ia merupakan langkah kerajaan sebagai persediaan menghadapi banjir, yang turut merangkumi kesiapsiagaan ketika serta pasca banjir.
"Ada pengajaran daripada apa yang pernah dilalui daripada (banjir) tahun lepas, dan saya melihat dari segi kesediaan agensi-agensi terlibat, mereka lebih bersedia kali ini,” katanya ketika ditemui Bernama dan RTM selepas merasmikan Majlis Apresiasi Program Keceriaan dan Perbarisan Hari Kebangsaan 2022 Antara Kementerian di sini, pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai intipati mesyuarat Task Force Persediaan Menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2022/2023 yang dipengerusikannya pada 3 Oktober lepas.
Mohd Zuki berkata, kesiapsiagaan menghadapi banjir turut dilakukan di peringkat negeri, terutamanya di negeri yang sering dilanda banjir.
Jabatan Meteorologi sebelum ini meramalkan negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini yang membawa kepada banjir besar pada di penghujung bulan, dengan cuaca yang dialami dijangka memberi impak lebih signifikan kerana MTL yang aktif pada tempoh itu membawa risiko hujan lebat berterusan serta banjir berskala besar.
Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Mohd Zuki berharap semua kementerian memperkemaskan jentera di jabatan dan agensi masing-masing dan bersiapsiaga dalam bersama membantu memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat ketika banjir.
"Saya percaya semua kementerian juga sudah merangka dan menyusun strategi bagi memastikan tindakan yang akan diambil kali ini lebih baik dari tahun sebelumnya tanpa melibatkan sebarang karenah birokrasi,” katanya.
Turut hadir, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Mohammad Mentek dan KSU kementerian lain.
Pada majlis itu 18 kementerian, termasuk Kementerian Kewangan dan Kementerian Sumber Manusia, menerima Anugerah Penarafan Lima Bintang bagi Program Keceriaan antara Kementerian yang diadakan sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2022.
Kementerian Pendidikan pula dinobatkan sebagai johan bagi pertandingan perbarisan Hari Kebangsaan 2022 diikuti naib johan Kementerian Pengangkutan dan tempat ketiga Kementerian Kesihatan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!