KPLB bantu pelajar ke universiti terbaik dunia

A
A
A
KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperkenalkan Program Penajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) ke universiti terbaik dunia khusus untuk pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran peringkat ijazah pertama ke luar negara.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, program yang baharu dilaksanakan itu bertujuan melahirkan bakal pemimpin dan tokoh korporat serta profesional bertaraf dunia bagi menerajui agenda pembangunan negara.

"Melalui program ini dapat memberi peluang pada pelajar yang mendapat keputusan cemerlang untuk melanjutkan pelajaran ke universiti terbaik di dunia dengan kemudahan pelajaran yang kondusif secara langsung dari pakar pendidikan antarabangsa," katanya selepas Majlis Penyerahan Surat Tawaran Pra Universiti kepada pelajar cemerlang Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) 2018 di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, seramai 51 orang pelajar cemerlang MRSM Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 daripada golongan keluarga kurang kemampuan berpendapatan RM1,000 ke bawah ditawarkan melanjutkan pelajaran ke program pra universiti.

Terdahulu ketika berucap pada majlis tersebut, Rina memberitahu, Mara diminta untuk memastikan kuota kemasukan ke semua institusi pendidikan di bawah agensi tersebut dengan sasaran sekurang-kurangnya 60 peratus khusus untuk golongan B40 terutamanya dari luar bandar.

"Melalui peningkatan kuota ini, kita akan dapat membantu meningkatkan peluang golongan B40 untuk menyambung pelajaran dan membantu mengubah nasib keluarga mereka," jelas beliau.

Menurutnya, Mara menyediakan institusi pendidikan peringkat tertiar dan pengajian tinggi bagi membuka peluang yang luas kepada golongan tersebut untuk mendapat pendidikan tinggi.

"Saya menyeru semua lepasan SPM mengikuti pengajian di institusi pendidikan Mara ini bagi mereka yang berminat dalam bidang kemahiran dan teknologi, Mara mempunyai gugusan institusi latihan teknikal dan vokasional.

"Bagi pelajar yang berminat dalam bidang sains, sosial, perniagaan, pengurusan kewangan dan teknologi maklumat, bolehlah mengikuti program berkenaan di Kolej Profesional Mara, Koleh Polytech Mara atau Universiti Polytech Mara," katanya.
Artikel Berkaitan:


Tambahnya, jika pelajar terbabit tidak mempunyai kemampuan dari segi kewangan maka Mara turut menyediakan pinjaman pelajaran bagi merealisasikan hasrat serta cita-cita mereka untuk ke menara gading.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!