Piya 'angkat kaki' dari Kelantan
PEMAIN veteran Kelantan, Mohd Badhri Radzi memutuskan meninggalkan pasukan itu biarpun tidak sampai sebulan kembali beraksi bersama negeri kelahirannya dalam saingan Liga Premier musim ini.
Mohd Badhri atau dikenali Piya berkata, penarikan diri itu dibuat susulan keputusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mahu mengkaji semula kedudukannya dalam pasukan berkenaan.
"Semuanya tidak berjalan seperti dirancangkan dan saya fikir lebih baik undur diri lebih awal daripada pasukan Kelantan sebelum apa-apa berlaku.
"Sebelum ini pun, saya kembali bermain dengan Kelantan kerana mendapat tawaran dari Ahmad Fazli Mohammad (MyInspiration Sdn Bhd) dan Orrisa Baharum," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Sejak menyertai The Red Warriors pertengahan bulan lalu, Mohd Badhri hanya sempat beraksi kurang 40 minit sebagai pemain gantian dalam dua perlawanan iaitu bertemu Terengganu FC (TFC) II dalam aksi liga dan menentang Selangor dalam kempen Piala FA.
Bekas kapten berusia 37 tahun itu memberitahu, dia memohon maaf kepada penyokong Kelantan di sebalik pengundurannya itu dan berharap tindakannya tidak disalah tafsir mana-mana pihak.
"Saya telah serahkan surat penarikan diri daripada pasukan Kelantan kepada pihak Kafa, sekitar jam 3.15 petang tadi.
"Kafa secara rasmi sudah menerima surat itu dan saya sedang menunggu maklum balas daripada mereka," katanya.
Terdahulu, Presiden Kafa, Bibi Ramjani Ilias Khan memberitahu, pihaknya akan meneliti semula kontrak pemain yang gaji mereka dibayar oleh Kelantan Red Warriors (KRW) Sdn Bhd dengan jaminan MyInspiration Sdn Bhd.
Selain Mohd Badhri, ketua jurulatih, Marko Kraljevic dan bekas penyerang import Uruguay, Raul Tarragona juga antara pemain yang dibawa masuk oleh MyInspiration Sdn Bhd selepas termeterai perjanjian antara KRW Sdn Bhd dan Kafa, 24 Januari lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!