WCIT kembali selepas tiga tahun menyepi
IPOH - Selepas kali terakhir diadakan pada tahun 2018, Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) dengan kerjasama kerajaan Perak kembali menganjurkan Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) kali ke-6 pada 18 Oktober depan.
Naib Canselor USAS, Profesor Tan Sri Dr Nordin Kardi berkata, penganjuran kali ini akan berlangsung di Pusat Konvensyen Casuarina, Bandar Meru Raya di sini membawa tema Kemanusiaan Yang Dikongsi Bersama akan menampilkan beberapa tokoh antarabangsa.
Menurutnya, majlis perasmian akan disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
"Terdapat empat sub tema persidangan yang akan dibentang dan dibincangkan oleh panel-panel terkemuka dari dalam dan luar negara.
"Persidangan ini merupakan platform bagi para pemikir serta masyarakat serantau dan antarabangsa untuk berinteraksi secara bebas serta bertukar idea dalam menangani isu yang melanda dunia ketika ini,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar sempena majlis pelancaran tidak rasmi WCIT di Jabatan Penyiaran Negeri Perak pada Khamis.
Nordin berkata, seramai 1,000 peserta terdiri daripada golongan ulama, pemimpin, intelektual, profesional serta masyarakat di dalam dan luar negara dijangka hadir pada WCIT pada tahun ini.
Hadir sama pada sidang akhbar tersebut, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Hal Ehwal Pelajar USAS, Prof Datuk Dr Wan Sabri Wan Yusof dan Timbalan Naib Canselor Pentadbiran dan Kewangan USAS, Prof Madya Dr Anas bin Md Yusof.
Persidangan antarabangsa selama sehari ini akan mengetengahkan barisan pembentang yang tersohor termasuk Pengerusi Suruhanjaya Persaingan Malaysia, Datuk Seri Mohd Hishamudin Md Yunus; Chargee d’affaires Kedutaan Perancis di Malaysia, Virginie Bioteau, Chargee d’affaires Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia, Timo Goosmann dan Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Republik Indonesia, Dr Sandiaga Salahuddin Uno.
Selain itu, Pengerusi Lembaga Pengarah USAS, Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali; bekas Duta Besar Jepun ke Malaysia, Makio Miyagawa; Pengarah Eksekutif Penang Institute, Datuk Dr Ooi Kee Beng dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Institute Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) yang juga merupakan bekas penasihat ekonomi kepada Perdana Menteri Malaysia ke-7, Dr Muhammed Abdul Khalid turut termasuk dalam senarai barisan pembentang persidangan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!