EISKL mampu jana ekonomi negara
EKSPO Industri Sukan Kuala Lumpur 2022 (EISKL 2022) akan menjadi pemangkin kepada semua penggiat dan pemain industri untuk bersama membangunkan industri sukan secara lebih tersusun pada masa depan.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, EISKL juga bukan sekadar acara melengkapkan kalendar tahunan, sebaliknya platform kepada pemegang taruh dan masyarakat untuk terus mempelopori industri sukan ke tahap lebih tinggi.
Malah, beliau memberitahu, EISKL bukan sahaja bertujuan memastikan kemampanan industri sukan sahaja, namun lebih penting matlamat bagi menjadikan ia antara penyumbang terbesar pembangunan ekonomi negara dan sosioekonomi rakyat.
“Kini terdapat beberapa negara sudah pun menganjurkan ekspo sukan dan berjaya memberi pulangan yang sangat memberangsangkan. Contohnya seperti Munich ISPO, Beijing ISPO, PGA Expo dan FSB Cologne Sport Expo.
“Saya yakin EISKL juga mampu untuk menjadi salah satu ekspo sukan terkemuka dunia sekali gus memartabatkan Kuala Lumpur Sports City di persada antarabangsa.
“Insya-ALLAH, usaha menjadikan Malaysia sebagai Hab Industri Sukan juga boleh direalisasikan, dengan apa juga acara bertaraf dunia boleh dianjurkan di Kuala Lumpur Sports City.
“Paling penting usaha menjadikan bidang sukan bersifat komersial, dinamik dan progresif, selain memberi nilai tambah terhadap pembangunan sektor ekonomi negara,” katanya ketika merasmikan EISKL 2022 dan Persidangan Industri Sukan Kebangsaan 2022 pada Khamis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!