Tiada agenda tergempar dalam Mesyuarat UMNO: Ahmad Maslan

Ahmad
Ahmad
A
A
A

KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tiada sebarang agenda tergempar yang akan dibincangkan dalam mesyuarat parti itu pada malam ini.

Beliau berkata, pertemuan pucuk pimpinan tertinggi parti malam ini hanyalah perjumpaan rutin yang sering diadakan parti itu.

"Memang kami ada mesyuarat, siang ada mesyuarat, petang ada mesyuarat, malam ada mesyuarat perbincangan yang tajuk berbeza-beza malam ini cuma mesyuarat biasa daripada siri mesyuarat-mesyuarat yang diadakan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Menara Dato Onn di sini pada Khamis.

Ditanya mengenai jika antara inti pati pertemuan pucuk pimpinan tertinggi parti pada malam ini untuk membincangkan mengenai manifesto Pilihan Raya Ke-15 (PRU15), beliau berkata, perkara itu adalah normal untuk diketengahkan dalam mesyuarat parti bagi menghadapi pilihan raya yang akan datang.

Sementara itu, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang hadir kira-kira 7.40 malam tadi ketika ditanya pemberita berkata: "Bincang manifesto," jawabnya ringkas apabila ditanya mengenai kehadirannya pada malam ini.

Turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Terdahulu antara individu yang hadir dalam pertemuan itu adalah bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Mengulas mengenai kedatangan Ahli Parlimen Kuala Nerus itu ke Ibu Pejabat UMNO, beliau berkata, ia hanyalah kunjungan biasa.

Artikel Berkaitan:

"Pelbagai pihak datang berjumpa dengan kita. Sesiapa pun boleh berkunjung termasuk duta-duta dan ini adalah persediaan yang biasa," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!