Siapa pilihan Malaysia?
SEORANG pelumba akan digugurkan dalam tempoh terdekat bagi membolehkan skuad kebangsaan Malaysia mengekalkan rentak kayuhan serasi menjelang perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 bermula Selasa ini.
Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab percaya dua jurulatih, Mohd Yusof Nasir dan Amir Mustafa Rusli sudah memiliki percaturan tersendiri tatkala LTdL 2022 akan membuka tirainya empat hari lagi.
“Kami (PKBM) sedang meneliti semua laporan. Daripada jurulatih, pengurus dan penyelaras pasukan. Saya rasa mereka sudah berjaya mencapai kata sepakat. Rasanya sudah ada nama enam pelumba terakhir yang akan berkayuh di LTdL 2022.
“Saya beri kepercayaan penuh kepada semua pihak, khususnya dua jurulatih (Mohd Yusof dan Amir Mustafa). Saya harap keputusan mereka akan memberi pulangan berbaloi,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.
PKBM menyenaraikan tujuh pelumba - Sofian Nabil Mohd Bakri, Nik Mohd Azwan Zulkiflie, Muhammad Ameer Ahmad Kamal, Muhammad Ameen Ahmad Kamal, Izzat Helmi Abd Halil, Kee Zhe Yie dan Dr Norhasmat Abd Aziz.
Dipercayai nama Sofian Nabil, Nik Mohd Azwan, Muhammad Ameer dan Muhammad Ameen hampir pasti tersenarai dalam percaturan Mohd Yusof serta Amir Mustafa.
Untuk rekod, Nik Mohd Azwan, Muhammad Ameer dan Muhammad Ameen pernah bergandingan dalam kuartet ujian masa berpasukan (ITT) Malaysia yang menghadiahkan pingat emas pada Sukan SEA 2017.
Kini, tinggal tiga nama - Izzat Helmi, Zhe Yie dan Norhasmat, dan berdasarkan senario terkini, wujud potensi Izzat Helmi dan Zhe Yie bakal menyarung jersi Malaysia pada LTdL kali ini.
Abu Samah percaya skuad negara mampu menagih sesuatu daripada Sofian Nabil dan Nik Mohd Azwan yang dianggap tonggak dalam sejarah LTdL.
“Mereka berdua pernah menyarung Jersi Putih (pelumba terbaik Asia) LTdL). Sekalipun tidak berjaya mengekalkan jersi tersebut tetapi mereka tahu bagaimana tekanan dan cabaran berlumba pada LTdL,” ujarnya.
Peringkat 1 LTdL 2022 bermula dari Kuala Pilah ke Kuala Lumpur sejauh 157.3 kilometer (km), Peringkat 2 Kuala Klawang-Raub (178.9km), Peringkat 3 Putrajaya-Genting Highlands (123.7km) dan Peringkat 4 Sabak Bernam-Meru Raya (137.9km).
Saingan diteruskan di Peringkat 5 Kuala Kangsar-Kulim (172.0km), Peringkat 6 Georgetown-Alor Setar (120.4km), Peringkat 7 Kuah-Gunung Raya (90.8km) dan Peringkat 8 Loop Langkawi (115.9km) melibatkan jarak keseluruhan 1,096.9km.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!