Lokasi bukan hotspot pun banjir juga...
MUTAKHIR ini, banjir kilat dilaporkan semakin kerap berlaku di Johor. Setiap kali hujan lebat, beberapa kawasan khususnya di Bandaraya Johor Bahru akan dinaiki air.
Begitu juga beberapa daerah yang turut terkesan dengan banjir kilat terutama apabila tiba musim tengkujuh pada penghujung tahun.
Sejak sebulan lalu, beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka melibatkan kawasan di daerah Batu Pahat, Pontian, Kulai, Johor Bahru dan Iskandar Puteri.
Keadaan hujan berterusan ketika ini membimbangkan kerana menyebabkan lebih banyak kawasan rendah di Johor dinaiki air bah.
Selain kerosakan harta benda, ramai penduduk mengeluh kerana banjir kali ini disifatkan sebagai yang terburuk pernah mereka alami.
Mana tidaknya, kawasan bukan hotspot banjir turut dinaiki air sehingga menyebabkan penduduk dipindahkan ke PPS berdekatan.
Berdasarkan tinjauan dilakukan di Sri Gading ketika banjir berlaku pada pertengahan bulan lalu, penduduk tidak menyangka kawasan kediaman mereka dilanda banjir kilat. Ia tidak pernah berlaku sejak 16 tahun lalu.
Menurut penduduk, banjir pernah melanda kampung itu pada 2006 dengan paras ketinggian air hampir satu meter.
Justeru, ada yang mendakwa masalah banjir antara lain berpunca daripada sistem perparitan tidak berfungsi dengan baik, kemungkinan disebabkan tidak diselenggarakan.
Banjir termenung menjadi punca penduduk tidak pulang ke rumah masing-masing walaupun sudah lebih seminggu berada di PPS di Sri Gading.
Selepas daerah Batu Pahat, beberapa kawasan di Kulai dan Pontian turut berdepan banjir kilat yang menyaksikan PPS dibuka bagi menempatkan penduduk yang terjejas.
Begitu juga di kawasan sekitar Johor Bahru, banjir kilat dilaporkan berlaku di beberapa kawasan khususnya lokasi berdekatan sungai seperti di Kampung Mohd Amin, Batu 10, Skudai dan Kampung Dato' Sulaiman Menteri.
Pelbagai video kejadian banjir kilat yang berlaku di Johor dikongsi di media sosial sehingga menarik perhatian ramai dengan rata-ratanya memberikan kata-kata semangat kepada mangsa banjir.
Namun, ada juga video lama yang dikongsi, sekali gus menimbulkan keresahan orang ramai. Pada Rabu, tular video berdurasi 53 saat yang dimuat naik di sebuah akaun Facebook mendakwa terdapat kejadian kepala air di sekitar Gunung Pulai.
Bagaimanapun, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor menafikan kejadian itu. Malah, hasil pemantauan di sekitar Gunung Pulai mendapati tiada insiden kepala air atau banjir di kawasan berkenaan.
Janganlah berkongsi perkara yang tidak pasti dengan menularkan video lama kerana dalam situasi cuaca tidak menentu dan kejadian banjir masih berlaku, ia boleh menimbulkan panik serta menggugat ketenteraman awam.
Dalam pada itu, pujian dan penghargaan harus diberikan kepada anggota keselamatan seperti JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kerana bertungkus-lumus membantu memindahkan penduduk dan memastikan keadaan kawasan banjir selamat.
Begitu juga agensi kerajaan yang lain seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pejabat daerah, Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM)dan kerajaan Johor sendiri yang segera menghulurkan bantuan serta membantu mangsa banjir.
Malah, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut menghulurkan sumbangan dengan menyampaikan keperluan asas kepada mangsa banjir di Sri Gading yang disempurnakan oleh Askar Timbalan Setia Negeri Johor dan sukarelawan Southern Volunteers.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar turut berkenan mengurniakan 103,000 unit khemah kubik bernilai RM19 juta kepada negeri di seluruh negara untuk digunakan mangsa sewaktu bencana banjir besar yang diramalkan pada November ini.
Khemah kubik kurniaan Sultan Ibrahim menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) itu adalah untuk kegunaan sewaktu bencana alam bagi menempatkan mangsa di PPS.
Sebuah jawatankuasa khas juga ditubuhkan bagi meneliti infrastruktur dan jalan-jalan yang kerap dilanda banjir di Johor, selain mengambil pelbagai langkah untuk menanganinya.
Kekerapan kejadian banjir yang berlaku sejak kebelakangan ini seharusnya tidak dianggap sebagai ‘acara tahunan’.
Bencana banjir tidak dapat dielakkan tetapi jika langkah awal diambil terutama menambah baik sistem saliran, risiko berlaku bencana tersebut dapat dikurangkan.
Bukan hendak menuding jari mencari salah siapa tetapi belajar dan ambillah iktibar daripada kejadian yang berlaku untuk mengelak perkara lebih buruk pada masa hadapan.
* Nor Azura Md Amin ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Johor
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!