Nor Azima nekad mahu ubah hidup keluarga

Nor Azima
Nor Azima
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pelajar yang mendapat keputusan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018, Nor Azima Abdul Razak bersyukur selepas terpilih menyertai Program Pra Universiti anjuran Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Nor Azima, 18, nekad mengubah nasib keluarga selepas ibunya diserang angin ahmar pada tahun lalu sehingga tidak mampu bekerja manakala bapanya pula sudah meninggal dunia sejak dia berusia dua tahun.

Bagaimanapun, bekas pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tun Ghafar Baba iru berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM yang diumumkan pada 14 Mac lalu dengan keputusan 10A.

"Disebabkan ibu diserang angin ahmar, tangan kanan ibu tidak boleh dibuka dan susah untuk melakukan kerja. Alhamdulillah, kakak dan keluarga ibu banyak membantu semasa saya sedang belajar," katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian pada Majlis Penyerahan Surat tawaran Pra Universiti Kepada pelajar Cemerlang MRSM SPM 2018 di sini hari ini.

Dia merupakan salah seorang daripada 52 calon terpilih untuk mengikuti program tersebut dan mereka terdiri daripada keluarga berpendapatan RM1,000 ke bawah atau golongan B40.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun; Pengerusi Mara, Dr Hasnita Hashim dan Ketua Pengarah Mara, Datuk Azhar Abdul Manaf.

Nor Azima yang merupakan anak keempat daripada lima orang adik beradik berkata, dia tidak menyangka mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM.

Artikel Berkaitan:

"Sewaktu peperiksaan pra percubaan, saya mengalami sedikit tekanan kerana memperoleh keputusan yang teruk dalam beberapa subjek.

"Namun saya bangkit dengan berkat usaha dan pertolongan guru serta rakan-rakan. Alhamdulillah, saya memperoleh 10A dalam peperiksaan SPM sebenar," katanya.

Menurutnya, fokus sewaktu di dalam dan luar kelas sangat membantu dalam pelajaran termasuk pertolongan dan kata-kata semangat daripada guru-guru dan rakan ketika dirinya putus asa.

Gadis berasal dari Tengkera, Melaka itu berkata, dia kini sudah membuat permohonan International Baccalaureate (IB) di Kolej Mara Banting dan merancang untuk meneruskan pelajaran dalam bidang sains veterinar supaya dapat menjadi doktor haiwan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!