Sekali lagi Jumaat jadi tumpuan
SEKALI lagi Jumaat menjadi tumpuan bagi semua rakyat Malaysia yang menantikan sama ada Bajet 2023 dibentangkan di Dewan Rakyat seperti dijadualkan ataupun sebaliknya.
Debaran itu juga turut dirasai bagi semua pihak yang menantikan berkemungkinan Parlimen akan dibubarkan sebelum atau selepas pembentangan Bajet 2023.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dijangka membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat pada pukul 4 petang.
Pada Khamis, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terus berteka-teki sama ada Bajet 2023 dibentangkan di Dewan Rakyat seperti dijadualkan ataupun tidak.
Menurutnya yang ditemui media di Kementerian Kewangan bagi meninjau persiapan akhir Bajet 2023, pelbagai spekulasi mengenai Bajet 2023 akan terjawab pada Jumaat.
Menyentuh mengenai kehadirannya ke MOF, Ismail Sabri berkata, ia sebagai tanda ucapan terima kasih kepada pegawai kementerian yang bertungkus-lumus menyedia dan menyiapkan kertas pembentangan.
Pada Khamis juga, Istana Negara sekali lagi menjadi tumpuan susulan Ismail Sabri menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Pertemuan tersebut berlangsung selama kira-kira sejam sebelum Ismail Sabri dilapor bertemu dengan 'Top 5' UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Istana Negara menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Ismail Sabri untuk Mesyuarat Pra-Kabinet di Istana Negara, pada Khamis.
Mesyuarat Pra-Kabinet itu adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Seri Paduka Baginda untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama Perdana Menteri berkenaan urusan dan isu-isu berkaitan kerajaan.
Satu portal media tempatan melaporkan tarikh pembubaran Dewan Rakyat tidak dibincangkan semasa Ismail Sabri menghadap Yang di-Pertuan Agong.
Perkara itu disahkan oleh sumber yang rapat dengan Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan disokong oleh maklumat yang diperoleh media tempatan itu daripada pihak istana.
Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa mengesahkan satu mesyuarat kabinet akan berlangsung pada Jumaat dan dipengerusikan Perdana Menteri.
Annuar menjelaskan, sekiranya Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat, kerajaan tetap wujud di bawah pimpinan Perdana Menteri 'care taker' yang akan dilantik sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berlangsung.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin pula berkata, penyata salinan Bajet 2023 telah dihantar ke Parlimen pada petang Khamis.
Pendedahan itu dibuat menerusi ciapan di Twitter dengan turut memuat naik gambar kenderaan yang digunakan untuk menghantar dokumen berkenaan.
Jadi adakah segala persoalan mengenai Bajet 2023 akan terjawab pada petang Jumaat ini?
Sudah pasti setiap rakyat tidak sabar menantikan apakah insentif dan bantuan yang bakal diterima oleh mereka terutama melibatkan hal berkaitan kebajikan, pendidikan, ekonomi dan kesihatan.
Bajet 2023 yang bakal dibentangkan pada petang ini antara pengumuman yang ditunggu-tunggu oleh semua pihak terutama golongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dan kenaikan kos sara hidup.
Pembentangan Bajet 2023 ini juga menjadi faktor penentu sejauh mana kerajaan memandang serius dalam memastikan kesejahteraan rakyat dan memulihkan semula ekonomi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!