Jangan lanjutkan tempoh pendaftaran lesen e-hailing: Big Blue Taxi

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR- Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd menggesa agar Kementerian Pengangkutan tidak membuat 'u-turn' berhubung tempoh pendaftaran lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) bagi pemandu perkhidmatan e-hailing.

Penasihatnya, Datuk Shamsubahrin Ismail berkata tempoh sehingga 12 Julai untuk mereka terlibat berbuat demikian tidak harus dilanjutkan kerana ada cakap-cakap bahawa tempoh itu akan dilanjutkan sehingga Januari 2020.

"Kami menggesa agar tiada 'u-turn' dibuat mengenai soal ini," katanya kepada Bernama.

Pada November 2018, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dilapor berkata semua pemandu perkhidmatan e-hailing diberi tempoh sehingga 12 Julai ini untuk menyelesaikan pendaftaran lesen PSV.

Kata Shamsubahrin: "Jika ada yang tidak sempat mendaftar sehingga tarikh itu, mereka (pemandu e-hailing) boleh melakukannya kemudian tetapi tidak boleh memberi perkhidmatan sehingga mereka mendapat lesen."

Shamsubahrin juga menggesa agar Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan Kementerian Pengangkutan turut mengkaji semula standard insurans yang akan diguna pakai oleh pemandu perkhidmatan e-hailing nanti.

Beliau juga mahu setiap kenderaan perkhidmatan e-hailing mempunyai 'body marking' yang standard sepertimana diguna pakai oleh teksi.

"Kita mahu kenderaan atau warna pada kenderaan ini diselaraskan, bukan sekadar meletakkan pelekat. Ini kerana mereka adalah pemandu yang sama seperti kami (teksi) dan tiada sebab mereka ini diberi kelonggaran termasuklah dari segi lesen dan warna kenderaan," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!