Dua beradik mangsa maut renjatan elektrik ditawar biasiswa
KAJANG - Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) menawarkan biasiswa untuk dua beradik kepada mangsa maut akibat terkena renjatan elektrik di Kampung Teras Jernang, di sini, baru-baru ini.
Pengurus Besar YBK, Sherhan Nizam Abdul Aziz berkata, biasiswa tersebut bernilai RM50,000 berasingan untuk kedua-dua beradik tersebut belajar di Akademi YBK dan sekolah rendah yang ditanggung sepenuhnya oleh pihaknya.
"Kalau ikut seorang itu bermula dari Tingkatan 1 hingga 5, setahun RM10,000. Seorang lagi (berumur tujuh tahun) kita nak tawarkan masuk sekolah rendah," katanya kepada Sinar Harian.
Pada Rabu, YBK turut menziarah keluarga tersebut di sini bagi menyampaikan sumbangan dan tawaran biasiswa tersebut, selain kerja pemulihan pendawaian yang dilakukan oleh kumpulan Bahagian Elektrik dari Akademi Kemahiran YBK (AKYBK).
Ziarah YBK diketuai oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBK, Zainal Mohd Jais, yang mewakili Pengerusi YBK, Datuk Zainal Abidin Sakom bersama para pegawai YBK.
Turut bersama dalam ziarah tersebut ialah Pengurus Pendidikan YBK, Norleza Hambali, pengajar di Akademi Kemahiran YBK, Rohaida Ismail dan pegawai Jabatan Media YBK.
Baru-baru ini, Sinar Harian melaporkan tentang dua orang kanak-kanak lelaki maut akibat terkena renjatan elektrik ketika bermain di luar rumahnya di Kampung Teras Jernang, di sini pada petang Jumaat.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Bangi, Norazlin Syahidah Ali berkata, tragedi menimpa dua beradik berumur 10 dan 11 tahun itu disaksikan oleh adik bongsu kepada mangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!