155 iklan pinjaman wang haram diturunkan
KEMAMAN - Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) bersama penguat kuasa Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) menurunkan 155 gegantung haram memaparkan iklan pinjaman wang tidak berlesen di daerah itu pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, operasi dijalankan menerusi Op Vulture (turun gegantung) memberi tumpuan di Taman Sutera Mas dan Taman Desa Solehah di Mak Chili di sini.
"Kita telah menurunkan 155 gegantung yang menawarkan pinjaman wang tanpa lesen (along) di kawasan taman-taman sekitar Chukai di Kemaman.
"Gegantung itu diikat secara haram pada tiang elektrik dan papan tanda di kawasan-kawasan taman dan lokasi tumpuan ramai," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Menurut Hanyan, operasi itu bertujuan membanteras kegiatan sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen sekali gus membendung aktiviti tersebut daripada berleluasa.
Katanya, tindakan membantu atau menawarkan pinjaman wang tanpa lesen boleh didakwa di bawah Seksyen 5 (2) dan 29 AA Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.
"Orang ramai diminta untuk terus membantu pihak polis dengan menyalurkan maklumat berkaitan jenayah komersial melalui saluran CCID Scam Response Center di talian 03-26101559/ 03-26101599 atau menerusi aplikasi WhatsApp CCID Infoline di talian 013-2111222," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!