Pasaran buruh tunjuk pemulihan menggalakkan

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pasaran buruh menunjukkan pemulihan yang menggalakkan pada separuh pertama 2022 berikutan pelaksanaan inisiatif intervensi pekerjaan yang berkesan melalui Bajet 2022 serta pakej bantuan dan rangsangan ekonomi.

Menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2023 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini, operasi perniagaan yang rancak selaras dengan peralihan ke fasa endemik turut merangsang permintaan agregat buruh seterusnya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dalam pasaran.

Perkembangan positif dalam pasaran buruh juga ditunjukkan melalui penurunan bilangan pemberhentian pekerja dengan ketara sebanyak 48 peratus dan mencatat 18,076 orang pada akhir Jun 2022.

"Trend pemberhentian (pekerja) telah kembali ke tahap prapandemik (COVID-19) berikutan industri mengekalkan pekerja dan menyokong peningkatan aktiviti perniagaan,” menurut laporan itu.

Kekosongan jawatan telah meningkat dua kali ganda kepada lebih 508,000 jawatan pada Jun 2022 berbanding sekitar 258,000 dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Pasaran buruh dijangka terus bertambah baik pada separuh kedua tahun ini berikutan permintaan pekerja yang lebih kukuh oleh perniagaan dan industri bagi memenuhi peningkatan permintaan domestik dan luar.

Menurut laporan itu, jumlah guna tenaga diunjur berkembang sebanyak 1.6 perarus kepada 15.3 juta orang dengan sektor perkhidmatan menjadi penyumbang utama kepada guna tenaga sebanyak 65.1 peratus terutamanya dalam subsektor perdagangan borong dan runcit serta perkhidmatan penginapan dan makanan dan minuman.

Pembukaan semula sempadan negara bermula 1 April 2022 dan pemeteraian memorandum persefahaman dengan negara sumber yang berkenaan telah memudahkan pengambilan dan mobiliti pekerja migran ke dalam negara, menurut laporan itu.

Artikel Berkaitan:

"Bilangan pekerja asing berkemahiran rendah yang berdaftar meningkat sebanyak 12.5 peratus kepada 1.2 juta orang sehingga akhir Ogos 2022 berbanding 1.1 juta orang dalam tempoh yang sama pada 2021,” menurut laporan itu.

Bilangan ekspatriat pula meningkat 5.5 peratus kepada 86,023 orang pada akhir Jun 2022 berbanding 81,539 pada Jun 2021. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!