Skim Penjaja Muda: RM305 juta pinjaman khusus untuk belia
KUALA LUMPUR - Kerajaan menyediakan sejumlah RM305 juta sebagai kemudahan pinjaman khusus untuk menggalakkan lebih ramai anak muda berniaga.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kemudahan pinjaman tersebut adalah melalui Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank) Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, Majlis Amanah Rakyat (Mara), Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Agrobank.
“Antaranya Skim Penjaja Muda Keluarga Malaysia di bawah BSN dengan dana RM50 juta akan menawarkan pinjaman sehingga RM50,000 untuk 10,000 anak muda menjana pendapatan sendiri seperti mengusahakan trak makanan," katanya dalam pembentangan Bajet 2023 di Parlimen pada Jumaat.
Beliau memaklumkan kerajaan bersetuju menanggung bayaran bagi mendapatkan lesen teksi, bas dan e-hailing di bawah program MyPSV bagi membantu golongan berpendapatan rendah (B40) khususnya belia menjana pendapatan.
“Kerajaan juga akan menanggung bayaran ujian memandu untuk lesen motosikal kelas B2,” ujarnya.
Tambah Tengku Zafrul, bagi menggalakkan belia bekerja, Skim TEKUN Belia Mobilepreneur akan diteruskan dengan RM10 juta bagi membiayai modal anak muda terlibat dalam perkhidmatan penghantaran menggunakan motosikal.
Katanya, Pakej Remaja Keluarga Malaysia telah membantu belia untuk mendapatkan pakej prabayar dengan tawaran langganan pelan data internet dengan hanya RM30 bagi tempoh tiga bulan.
“Bagi merapatkan jurang digital dalam kalangan belia di samping melancarkan sesi pembelajaran pelajar, inisiatif ini dilanjutkan sehingga April 2023,” jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!