Bukan semua salah penganjur pakej umrah

Mohd Hafizi (kanan) bertukar dokumen MoU bersama Marsita untuk Program Jejak Haramain MCCF.
Mohd Hafizi (kanan) bertukar dokumen MoU bersama Marsita untuk Program Jejak Haramain MCCF.
A
A
A

SHAH ALAM - Kegagalan peserta umrah berlepas ke Tanah Suci bukan kesalahan yang perlu diletakkan di atas bahu pengusaha pakej sepenuhnya sebaliknya isu tersebut berpunca daripada kemelut 'perang tiket' kapal terbang dan masalah logistik.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persada Global Holidays Sdn Bhd (PGH), Mohd Hafizi Abdul Fatah berkata, perang tiket merupakan isu utama berkemungkinan berlaku di saat akhir peserta ingin berlepas ke Tanah Suci akibat isu kapal terbang yang terhad.

Katanya, selain jumlah kapal terbang yang terhad dalam masa-masa tertentu, isu logistik termasuk kemudahan menampung peserta umrah dilihat melebihi daripada keperluan sedia ada.

Menurutnya lagi, pembukaan sempadan-sempadan di Iran dan Turki selepas Covid-19 turut menyebabkan bilangan peserta umrah bertambah daripada jumlah sebelum ini.

"Jarang sekali pihak pengusaha pakej umrah mahu menjadi scammer atau bertindak menipu jemaah yang ingin membuat amal ibadat di Tanah Suci.

"Namun pelbagai perkara di luar jangkaan dan faktor luar kawalan yang boleh berlaku meskipun di saat akhir termasuk semasa ingin berlepas.

"Oleh itu, tidak boleh meletakkan semua kesalahan di atas pihak agensi atau pengusaha pakej kerana situasi perang tiket dan isu logistik menjadi perkara utama menyebabkan peserta gagal berlepas ke Tanah Suci," katanya dalam sidang akhbar pada Jumaat.

Beliau berkata demikian majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Program Jejak Haramain MCCF antara Persada Global Holidays Sdn Bhd (PGH) dan Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) di Alam Setia, dekat sini.

Artikel Berkaitan:

Mohd Hafizi (tengah) dan Halim (tiga dari kiri) bersama peserta menunjukkan satu jari sebagai tanda sokongan kempen Satu Jari Bebas Rasuah anjuran Rasuah Busters.
Mohd Hafizi (tengah) dan Halim (tiga dari kiri) bersama peserta menunjukkan satu jari sebagai tanda sokongan kempen Satu Jari Bebas Rasuah anjuran Rasuah Busters.

Hadir sama Pengerusi MCCF, Datuk Seri Halim Ishak; Pengarah MCCF Services Sdn Bhd, Marsita Abdullah Makmun @ Adnin serta Mudir Pondok Baitussadah, Dr Sobri Elias.

Mengulas lanjut, Mohd Hafizi berkata, sebagai sebuah syarikat umrah yang berpengalaman luas dan beroperasi sejak 2013, PGH sentiasa berhati-hati dalam membuat penawaran pakej umrah kepada orang ramai bagi mengelak perkara tidak diingini.

Untuk itu katanya, bagi memastikan semua yang dirancang berjalan lancar, pihaknya seringkali melakukan perancangan lebih awal dan menyediakan pelan mitigasi bagi menghadapi situasi luar jangkaan.

Selain itu menurutnya, PGH akan sering berkomunikasi atau berhubung dengan pihak jemaah sebelum berlepas ke Tanah Suci bagi memastikan semua keperluan dapat disediakan dengan sempurna.

Tambahnya, keupayaan kesatuan agensi pelancongan dan umrah untuk duduk bersama di bawah satu konsortium bagi membincangkan isu tiket kapal terbang dilihat berjaya mengatasi beberapa masalah yang dihadapi.

Sementara itu, ditanya mengenai pencapaian PGH, Mohd Hafizi berkata, atas perkhidmatan baik yang berjaya disediakan, operasi syarikat terus meningkat naik daripada mengendalikan 1,000 peserta pada tahun awal operasi 2013, meningkat kepada 30,000 peserta pada 2020.

Jelasnya, bukan sahaja PGH membawa jemaah umrah ke Tanah Suci, syarikat itu turut menyediakan pakej pelancongan ke negara Balkan dan Turki.

Menurutnya lagi, satu pakej baharu akan ditawarkan dalam masa terdekat kepada orang ramai yang berminat melancong ke Korea.

"Diharap kerjasama yang dilakukan dengan MCCF menerusi Program Jejak Haramain MCCF ini dapat membantu lebih ramai orang untuk mengerjakan ibadah umrah dengan lebih selesa dan yakin.

"Dalam masa sama, kerjasama bersama MCCF ini akan digunakan untuk mengukuhkan lagi nilai integriti masyarakat untuk menolak amalan rasuah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!