Sekadar sedapkan hati, halwa telinga rakyat: Salahuddin

Salahuddin ketika ditemui di lobi Parlimen selepas pembentangan Bajet 2023 pada Jumaat.
Salahuddin ketika ditemui di lobi Parlimen selepas pembentangan Bajet 2023 pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub yakin Bajet 2023 tidak akan dibahaskan dalam sidang Dewan Rakyat minggu depan.

Justeru beliau menyifatkan bajet berkenaan sekadar untuk ‘menyedapkan’ hati dan halwa telinga rakyat.

“Saya melihat dengan teliti tentang bajet ini, tetapi saya mengatakan ia (Bajet 2023) tetap tidak dapat dibahaskan kerana terlalu kuat rumours (khabar angin) mengatakan minggu depan Parlimen akan dibubar.

“Ia hanya suatu yang mungkin sebagai halwa telinga yang menyedapkan hati rakyat, tetapi hakikatnya saya rasa (yang) perlu diperhatikan, adakah ia akan menjadi satu kenyataan kerana isunya adalah uncertainty (ketidaktentuan) dari segi bila Parlimen akan dibubarkan,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen selepas pembentangan Bajet 2023 pada Jumaat.

Dalam pada itu, beliau yang juga Timbalan Presiden Amanah turut menyifatkan pembentangan Bajet 2023 oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai sia-sia dan tidak bermakna jika Parlimen dibubarkan.

“Saya berharap kalau benar bajet ini berorientasikan kepada rakyat, ia mesti diizinkan untuk dibahas.

“Kami di pihak Pembangkang telah memberikan satu perjanjian dalam memorandum persefahaman (MoU), (maka) ada masa yang cukup untuk PM (Perdana Menteri) membina negara, bukan bergelut ataupun menerima tekanan dari mana-mana pihak untuk Parlimen dibubarkan.

“Bajet ini tidak ada makna sekiranya Parlimen dibubarkan pada minggu depan, apatah lagi semua orang lihat cuaca dalam seminggu dua ini memang tidak menentu akibat monsun,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!