Kuala Lumpur lepasi ujian pertama
PENYANDANG juara, Kuala Lumpur melepasi halangan pertama dalam misi mempertahankan kejuaraan apabila menewaskan Terengganu 3-2 dalam saingan kategori wanita Piala Tun Abdul Razak pada Jumaat.
Dalam aksi Kumpulan A di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil itu, Kuala Lumpur terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan awal Terengganu menerusi Nur Farah Hanis Azharuddin seawal minit keenam.
Namun, Kuala Lumpur yang diketuai kapten Nursyafiqah Mohd Zain tidak mengalah apabila menyamakan kedudukan tujuh minit kemudian hasil jaringan Nur Syaza Afiqah Safawi.
Kuala Lumpur terus selesa apabila menambah dua lagi gol hasil jaringan Nur Zafirah Aziz pada minit ke-18 dan Razreena Razali berselang empat minit kemudian.
Terengganu yang tidak mengalah kembali merapatkan jurang menerusi Norhasikin Halim pada minit ke-32, namun gagal menambah jaringan untuk sekurang-kurangnya mengikat Kuala Lumpur.
Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A, jaringan tunggal Fatin Shafika Mohd Sukri pada minit ke-37 sudah cukup membolehkan Selangor mengatasi Melaka 1-0.
Dalam aksi Kumpulan B, pemenang pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022, Pahang membelasah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 12-0, manakala Pulau Pinang menewaskan Negeri Sembilan 4-2.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!