Bajet 2023 sahkan peranan penting pasaran modal
SHAH ALAM - Bajet 2023 melalui inisiatif pasaran modal telah mengesahkan semula peranan penting aspek tersebut dalam menyokong pemulihan negara pasca pandemik Covid-19.
Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin berkata, inisiatif tersebut akan melengkapkan dan membantu usaha untuk meningkatkan keyakinan pasaran, menggalakkan pertumbuhan dan memangkin pelaburan sektor swasta dalam ekonomi.
Sehubungan itu, ujar beliau, pihaknya akan melancarkan Program Siswazah Pasaran Modal sebagai langkah membina jaringan mampan bagi bakat graduan baharu sekaligus meningkatkan keyakinan pasaran modal negara.
“Dibiayai oleh Dana Pembangunan Pasaran Modal (CMDF), Program Siswazah Pasaran Modal akan menjadi kerjasama sektor awam swasta untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam industri pasaran modal.
“Penubuhan program bakat siswazah akan membantu membina saluran tenaga mahir yang mampan untuk pasaran modal,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Ulas Awang Adek, langkah tersebut dapat menyumbang kepada pembinaan negara dan menangani defisit bakat.
“Defisit bakat adalah fenomena global yang akan memberi kesan kepada trajektori pertumbuhan ekonomi secara global.
“Oleh itu, adalah wajar Bajet 2023 mengutamakan peningkatan kumpulan bakat merentasi pelbagai sektor ekonomi,” ujarnya.
Dalam pada itu, menurut beliau, peruntukan kepada Dana Pelaburan Bersama Malaysia (MyCIF) sebanyak RM30 juta turut disalurkan bagi terus menyokong keperluan pembiayaan dan memangkin pertumbuhan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
“Bajet 2023 juga akan menyokong dan mengukuhkan sumbangan wanita dalam kedua-dua sektor awam dan swasta, dengan penubuhan perkongsian awam-swasta untuk menyediakan program latihan berstruktur untuk bakat wanita,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!