Selangor, TFC, Sabah cemerlang
SELANGOR FC meneruskan rentak kemenangan dalam dua perlawanan berturut-turut apabila menewaskan Petaling Jaya (PJ) City FC, 1-0 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Jumaat.
Bagaimanapun The Red Giants kendalian Tan Cheng Hoe yang masih segar dengan kemenangan 5-0 ke atas Melaka United di venue sama sebelum ini, memulakan perlawanan dengan corak permainan berhati-hati.
Sementara itu, The Pheonix kendalian P Maniam yang berstatus tuan rumah juga dilihat mengamalkan gaya permainan sama.
Pelawat berpeluang memimpin perlawanan pada minit ke-34, namun sepakan percuma Baha Abdelrahman diselamatkan penjaga gol tuan rumah, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi untuk kedudukan terikat tanpa jaringan pada babak pertama.
Pada babak kedua, Selangor meningkatkan tekanan dan asakan dalam memburu jaringan, namun kekentalan pertahanan tuan rumah berjaya menafikan deretan peluang lawan.
Usaha tidak mengenal jemu The Red Giants akhirnya berhasil apabila pemain gantian, Ahmad Danial Ahmad Asri berjaya menterjemahkan hantaran silang Mukhairi Ajmal pada minit ke-81.
Biarpun anak buah Maniam berusaha bangkit mencari gol penyamaan, namun ia tidak cukup menghalang Selangor membawa pulang tiga mata.
Sementara itu di Stadium Likas, Sabah FC memadamkan episod kekalahan 0-2 kepada Terengganu FC (TFC) di Gong Badak minggu lalu, dengan bangkit membelasah Penang FC, 4-1.
Gol anak buah Datuk Ong Kim Swee dihasilkan Baddrol Bakhtiar minit ke-33, Park Tae-su (72'), Saddil Ramdani (89') dan Stuart Wilkin (89'), manakala Adib Abdul Ra'op menjaringkan gol saguhati Harimau Kumbang pada minit ke-70.
Dalam pada itu, hatrik Tchetche Kipre pada minit ketiga, 13' dan 37' termasuk satu gol daripada Faisal Halim (70') cukup untuk memberi kemenangan mutlak 4-2 ke atas Melaka United dalam aksi di Stadium Hang Tuah.
Sementara gol skuad Hang Tuah pula disumbangkan Faris Mohd Shah pada minit ke-44 diikuti Syahmi Shamsudin pada minit ke-52.
Aksi Negeri Sembilan FC menentang Kedah Darul Aman FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pula terpaksa ditunda ke Sabtu selepas permukaan padang ditakungi air berikutan hujan lebat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!