Malaysia siap sedia 'kayuh' LTdL 2022

Mohd Yusof (berdiri, kiri) bersama barisan pelumba Malaysia yang bakal menggalas cabaran pada LTdL 2022.
Mohd Yusof (berdiri, kiri) bersama barisan pelumba Malaysia yang bakal menggalas cabaran pada LTdL 2022.
A
A
A

TEKA-teki senarai terakhir pelumba skuad kebangsaan Malaysia yang bakal beraksi pada Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 bermula Selasa ini terjawab apabila tonggak veteran, Dr Norhasmat Abd Aziz digugurkan.

Keputusan tersebut bermakna pemenang Master Asia itu yang bertugas di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) gagal untuk memenuhi impiannya berkayuh buat kali pertama di pentas LTdL – kejohanan paling berprestij di Asia.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab berkata, keputusan itu diputuskan secara kolektif oleh dua jurulatih, Mohd Yusof Nasir dan Amir Mustafa Rusli selepas berbincang dengan pengurus serta penyelaras pasukan.

Saya juga telah mendengar pandangan mereka. Saya percaya kedua-dua jurulatih telah mengambil pendekatan yang sangat pragmatik sebelum memutuskan untuk menggugurkan nama Dr Norhasmat.

“Saya harap semua pihak bersikap terbuka dalam hal ini. Jadi kita beri kepercayaan penuh kepada enam pelumba lain untuk menggalas cabaran Malaysia pada LTdL kali ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Pengguguran Dr Norhasmat bermakna PKBM menyenaraikan Sofian Nabil Mohd Bakri, Nik Mohd Azwan Zulkiflie, Muhammad Ameer Ahmad Kamal, Muhammad Ameen Ahmad Kamal, Izzat Helmi Abd Halil dan Kee Zhe Yie.

Abu Samah turut memuji sikap Dr Norhasmat yang berjaya mencabar kayuhan pelumba lebih muda, selain mempamerkan disiplin terbaik sepanjang sesi latihan dan ujian bersama skuad kebangsaan.

“Beliau menunjukkan mutu kayuhan berkualiti sehingga memaksa pelumba muda bekerja keras ketika sesi latihan ke Genting Highlands. Saya ucap selamat maju jaya kepada beliau,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, Abu Samah mengharapkan sentuhan Sofian Nabil dan Nik Mohd Azwan demi merealisasikan impian skuad kebangsaan Malaysia untuk sekurang-kurangnya berada dalam kelompok 15 terbaik.

“Sofian Nabil dan Nik mempunyai banyak pengalaman berlumba di LTdL. Mereka berdua juga pernah menyarung Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia. Ini masanya mereka pamer sekali lagi kayuhan terbaik,” jelasnya.

Peringkat 1 LTdL 2022 bermula dari Kuala Pilah ke Kuala Lumpur sejauh 157.3 kilometer (km); Peringkat 2 Kuala Klawang-Raub (178.9km); Peringkat 3 Putrajaya-Genting Highlands (123.7km); Peringkat 4 Sabak Bernam-Meru Raya (137.9km); Peringkat 5 Kuala Kangsar ke Kulim (172.0km); Peringkat 6 Georgetown-Alor Setar (120.4km); Peringkat 7 Kuah-Gunung Raya (90.8km) dan Peringkat 8 di Langkawi (115.9km).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!