Sanusi dinasihat jangan cari publisiti murahan dengan Johor

Mohd Hairi (tengah) bersama atlet wushu cilik pada Hari Sukan Negara peringkat negeri Johor 2022 di Dataran Bandaraya Johor Bahru pada Sabtu.
Mohd Hairi (tengah) bersama atlet wushu cilik pada Hari Sukan Negara peringkat negeri Johor 2022 di Dataran Bandaraya Johor Bahru pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dinasihatkan agar tidak mencari publisiti murahan dengan negeri Johor apabila dilihat mencampuradukkan hal politik dengan isu-isu sukan.

Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd Hairi Md Shah berkata, sebagai seorang pemimpin Muhammad Sanusi seharusnya menggunakan akal dan fikiran selain menjaga adab dan tatasusila.

"Saya nak komen sikit kepada Menteri Besar Kedah, selaku pemimpin, gunakan akal dan fikiran untuk menjaga adab serta tatasusila.

“Demi kesetiaan kita, bacalah perlembagaan dan hormat kepada institusi diraja.

"Jangan campur adukkan politik dan mencari publisiti murahan terhadap Johor," katanya ketika sidang akhbar sempena sambutan Hari Sukan Negara (HSN) peringkat negeri Johor 2022 di Dataran Bandaraya Johor Bahru di sini pada Sabtu.

Mohd Hairi berkata demikian bagi mengulas berhubung ‘perbalahan’ antara Muhammad Sanusi dengan pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang dilihat sering berbalas hantaran di media sosial sejak akhir ini.

Dalam pada itu, Mohd Hairi turut mengingatkan bahawa sukan sebenarnya merupakan medium yang menyatukan semua pihak dan bukannya medium yang memecahbelahkan.

Malah Mohd Hairi turut mengingatkan rakyat negeri ini agar kekal tenang biarpun seringkali ‘digasak’ dengan kata-kata yang tidak sepatutnya khususnya terhadap kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT).

Artikel Berkaitan:

"Sukan menyatukan... bukan memecahbelahkan seperti ada pemimpin dari utara yang merapu mengatakan kita ini macam-macam di Johor, tetapi Johor tetap 'steady', kita tenang-tenang. Orang-orang Johor pastikan tetap sokong JDT.

“Lagi pun, sambutan (HSN) pada tahun ini amat bermakna susulan kejayaan Johor khususnya dalam sukan di peringkat nasional dan antarabangsa dan bagi saya inilah harinya, hari di mana kita meraikan dan mengiktiraf kejayaan yang dibawa dan dikecapi pasukan, kontinjen dan atlet anak Johor,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!