Pihak ketiga dilarang campur tangan urusan mohon pekerja asing

Pekerja asing. - Gambar hiasan.
Pekerja asing. - Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Sumber Manusia (KSM) melarang campur tangan pihak ketiga dalam sebarang urusan permohonan pekerja asing di negara ini.

Menurut KSM, campur tangan pihak ketiga hanya akan merumitkan proses permohonan serta terdedah kepada salah laku seperti rasuah.

"KSM melarang campur tangan pihak ketiga untuk menyelesaikan masalah-masalah berkaitan dengan permohonan pekerja warga asing yang dihadapi oleh para majikan di negara ini.

"Sebarang campur tangan pihak ketiga hanya akan merumitkan proses permohonan serta terdedah kepada salah laku seperti rasuah atau kebocoran maklumat yang berkaitan hingga menyebabkan kelewatan dalam proses permohonan.

"Kementerian telah pun melaksanakan pelbagai inisiatif dan langkah yang terbaik dalam menangani masalah berkaitan dengan permohonan pekerja asing, namun hal ini sentiasa diputar belit dan dipolitikkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab,"katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tambah kenyataan itu, KSM cakna dan memahami permasalahan di lapangan serta berupaya untuk menguruskan isu-isu yang dihadapi oleh para majikan berkaitan permohonan pekerja asing.

KSM juga sentiasa terbuka dengan sebarang input yang diberikan oleh mana-mana pihak dalam menambah baik dan memudahkan proses permohonan pekerja asing.

"Oleh itu, majikan adalah dinasihatkan untuk terus berhubung dengan Kementerian Sumber Manusia bagi sebarang permasalahan yang dihadapi dalam memohon pekerja asing.

Artikel Berkaitan:

"Bagi mana-mana majikan yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Bahagian Pengurusan Pekerja Migran KSM (oscksm@mohr.gov.my) di talian 03-88852939/2940 atau Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (jtksm@mohr.gov.my)," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!