Bawa 'semangat' arwah suami ke Khatam Tadabbur My #QuranTime
PUTRAJAYA - Hasrat untuk hadir bersama dengan arwah suami dalam Majlis Konvokesyen Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0 pada Sabtu tidak tercapai apabila insan yang dicintainya itu telah pergi buat selama-lamanya sejak sembilan bulan lalu.
Seorang warga emas, Shifa Mohd Yusof, 81, menceritakan arwah suami merupakan sosok individu yang mengajarkan dan membacakan al-Quran ketika dia mengalami masalah penglihatan setelah melakukan pembedahan mata.
"Kami berdua sama-sama mengikuti program My #QuranTime sejak dua tahun lalu. Arwah suami mak cik yang tolong bacakan al-Quran untuk mak cik yang ketika itu baru sahaja selesai pembedahan mata.
"Arwah suami seorang insan yang baik kerana selalu ingatkan mak cik untuk baca al-Quran dan kami sudah beberapa kali khatam al-Quran, namun kali ini istimewa kerana akhirnya mak cik dapat juga selesaikan Khatam Tadabbur," katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas Majlis Konvokesyen Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini pada Sabtu.
Jelasnya lagi, arwah suaminya turut memberi ilmu dengan memberi pemahaman tentang maksud dalam setiap ayat al-Quran dibaca sepanjang mereka berdua mengikuti program berkenaan.
Menurut Shifa, dia berasa sebak dan hiba atas ketiadaan arwah suami namun tetap kuatkan semangat untuk datang bagi menghargai hasil kerja keras dan usaha mereka berdua dalam mengikuti program sedemikian sejak tahun 2020.
"ALLAH SWT lebih sayangkan arwah suami mak cik...arwah meninggal pada Februari lalu kerana sakit tua.
"Bagaimanapun, semangat arwah suami dibawa bersama ke majlis hari ini selain kenangan antara kami berdua sentiasa diingati sampai akhir hayat," ujarnya.
Beliau berkata, dia bersama keluarganya bergerak dari Melaka selepas solat Subuh ke Putrajaya untuk hadir ke Majlis Konvokesyen Khatam Tadabbur My #QuranTime 1.0.
"Saya dibawa oleh anak perempuan bersama menantu dan cucu-cucu walaupun sebenarnya tidak boleh berjalan jauh kerana alami masalah lutut dan perlu menaiki kerusi roda.
"Namun rasa cinta terhadap al-Quran tidak mematahkan semangat saya untuk datang ke majlis ini dan sememangnya program seperti ini memberi seribu kebaikan dengan mengajak umat Islam menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!