Bantuan RM150 untuk semua pelajar kurang tepat
SHAH ALAM - Langkah kerajaan memberi Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM150 kepada semua murid tanpa mengira pendapatan ibu bapa disifatkan sebagai kurang tepat.
Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, peruntukan sebanyak RM850 juta itu sepatutnya diutamakan untuk golongan yang lebih memerlukan.
"Satu langkah paling menarik apabila kerajaan memberikan peruntukan yang besar kepada sektor pendidikan. Ini menunjukan ada keprihatinan terhadap masa depan pendidikan negara, namun pemberian bantuan awal persekolahan RM150 kepada semua murid tidak berapa tepat.
"Sepatutnya bajet yang diperuntukkan sebanyak RM850 juta perlu dilebihkan kepada golongan yang lebih memerlukan. Bantuan sosial pukul rata seperti ini bukanlah satu langkah pruden atau berhemah.
"Bagi kelompok B40 dan M40 bantuan ini pasti banyak membantu mereka dalam berdepan dengan perbelanjaan pembukaan sekolah nanti, namun bagi golongan yang lebih berkemampuan tentu tidak memberikan apa-apa kesan kepada mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Bagaimanapun beliau berkata, secara keseluruhan meskipun Bajet 2023 hanya bersifat jangka pendek, ia merupakan langkah yang sangat baik termasuk peruntukan yang meningkat untuk syiar Islam.
"Namun saya tidak nampak angka yang relevan untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D). R&D inilah yg memberikan sustainabiliti kepada negara.
"Saya melihat langkah kerajaan menurunkan peratusan tax pendapatan kepada dua peratus merupakan langkah yang juga bijak untuk merancakkan ekonomi domestik dgn meningkatkan keupayaan berbelanja.
Tambah beliau, peruntukan yang besar untuk infrastruktur kepada Sabah dan Sarawak merupakan langkah yang tepat pada masanya.
"Saya masih mengharapkan angka yang lebih besar untuk Kelantan bagi keseimbangan pembangunan wilayah yang juga menjadi fokus dalam bajet kali ini.
"Tentunya golongan muda tidak ditinggalkan. Berbagai insentif untuk anak muda menanti dalam bajet kali ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!