Bajet 2023: MITI terus cerdaskan ekonomi negara

Gambar kecil: Mohamed Azmin
Gambar kecil: Mohamed Azmin
A
A
A
KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan terus memperkasa pembangunan industri, perdagangan antarabangsa dan pelaburan yang berkualiti dalam mengatur strategi daya saing Malaysia di arena global serta memacu ekonomi negara yang dinamik, progresif dan mampan demi kesejahteraan rakyat.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, bagi memastikan momentum pelaburan kekal kukuh, MITI akan memberi tumpuan kepada tiga bidang iaitu, perdagangan dan pembangunan lestari, daya tahan rantaian bekalan dan pembangunan modal insan.

"Dalam pada itu, peruntukan kepada MITI dalam Bajet 2023 berjumlah RM1.557 bilion yang meliputi peruntukan mengurus sebanyak RM625.09 juta dan peruntukan pembangunan bernilai RM932.45 juta, akan terus memperkasa inisiatif MITI dan 13 agensi di bawahnya.

"Peruntukan itu akan digunakan untuk mencerdaskan ekonomi negara agar sentiasa berdaya saing khususnya dalam membangunkan industri, meningkatkan perdagangan antarabangsa dan menarik pelaburan berkualiti,” katanya dalam satu kenyataan susulan pembentangan Bajet 2023.



Mohamed Azmin berkata, MITI akan meneruskan usaha mengekalkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang terpilih demi pelaburan baharu yang berkualiti tinggi, berteknologi tinggi dan berteknologi hijau.

Ini seiring dengan usaha Dasar Pelaburan Baharu yang baharu dilancarkan yang memberi penekanan kepada Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan melonjakkan trajektori pertumbuhan jangka panjang negara.

Sebagai usaha untuk memelihara alam sekitar yang bersih, penawaran kereta elektrik (EV) ke dalam pasaran negara adalah digalakkan.

"Justeru, MITI telah berbincang dengan Kementerian Kewangan di mana kerajaan bersetuju memberi pengecualian bayaran fi lesen import (AP) sebanyak RM10,000 ke atas setiap unit EV yang diimport oleh syarikat pemegang AP terbuka yang telah dilantik oleh MITI.

"Pengecualian ini diharap akan menyokong usaha MITI dalam meningkatkan penawaran kereta EV di pasaran yang secara langsung dapat membantu membangunkan ekosistem EV selaras dengan Dasar Automotif Nasional (NAP 2020) serta sasaran untuk menjadikan Malaysia sebagai hab automotif serantau bagi pengeluaran Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) termasuk EV,” katanya.

Beliau berkata, MITI berpegang teguh kepada sistem perdagangan pelbagai hala yang berpaksikan prinsip Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
Artikel Berkaitan:


Malaysia, katanya, akan mengejar peluang pasaran eksport melalui perjanjian perdagangan bebas seperti Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif, bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), mengguna pakai persekitaran kawal selia yang mesra perniagaan dan pragmatik serta memberikan sokongan kepada industri negara terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta generasi muda untuk menghadapi cabaran yang akan datang. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!